Skip to main content

Kepelbagaian sebagai Kekuatan: Asas Pembinaan Malaysia yang Inklusif

Kepelbagaian kaum dan etnik yang wujud di Malaysia sejak sebelum merdeka perlu terus diperkasa sebagai asas untuk memperkukuh perpaduan negara. Dalam konteks negara dengan realiti masyarakat majmuk, kepelbagaian perlu dijadikan asas dalam pembentukan identiti nasional yang kukuh.

Felo Nusantara Academy for Strategic Research, Prof Dr Azmi Hassan menegaskan bahawa kepelbagaian tersebut merupakan keunikan dan kelebihan yang tidak dimiliki oleh kebanyakan negara lain, sekali gus wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha menyemai jati diri serta semangat kebangsaan dalam kalangan generasi muda. Menurut beliau, “kepelbagaian itu kekuatan. Sebelum merdeka terdapat tiga kaum utama di Semenanjung, iaitu Melayu, Cina dan India, yang bersama-sama membangunkan Persekutuan Tanah Melayu.”

Sejarah ini kemudiannya berkembang dengan pembentukan Malaysia yang menyaksikan penyertaan pelbagai kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak. “Selepas pembentukan Malaysia, kepelbagaian itu bertambah dengan penyertaan pelbagai kumpulan etnik di Sabah dan Sarawak. Kepelbagaian inilah yang telah membangunkan Malaysia sejak sebelum merdeka sehingga hari ini,” jelas beliau. Hakikat ini menunjukkan bahawa pembinaan negara bangsa Malaysia tidak pernah terpisah daripada realiti kepelbagaian, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan negara

Dalam perkembangan yang sama, Dr Azmi turut menekankan bahawa masyarakat Cina dan India di negara ini tidak lagi mempunyai hubungan langsung dengan negara asal nenek moyang mereka selepas melalui beberapa generasi. Realiti ini memperlihatkan bahawa mereka telah menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia yang tidak boleh dipisahkan, sekali gus mengukuhkan lagi asas kebangsaan yang inklusif

Namun demikian, cabaran masa hadapan terletak pada kemampuan generasi muda untuk memahami dan menghayati realiti ini secara lebih mendalam. Dalam konteks berkaitan, kemajmukan masyarakat hari ini menuntut generasi muda melalui tiga proses penting, iaitu belajar (learn), mempelajari semula (relearn) dan meninggalkan tanggapan tidak tepat (unlearn) bagi membina Malaysia yang lebih inklusif. Proses ini penting bagi memastikan kefahaman terhadap sejarah, identiti dan kepelbagaian negara tidak disempitkan oleh naratif yang tidak tepat atau bersifat eksklusif.

Secara keseluruhan, kepelbagaian yang menjadi asas kepada pembentukan Malaysia perlu terus diperkasa sebagai kekuatan strategik negara. Dalam dunia yang semakin kompleks dan berpecah, keupayaan Malaysia mengurus kepelbagaian secara matang boleh menyumbang kepada kestabilan, serta pembinaan negara bangsa yang lebih inklusif, bersatu dan berdaya tahan.

Pandangan Prof Dr Azmi Hassan ini turut dikongsikan di Astro Awani

Baca artikel lain:
Peneraju wacana politik dan geopolitik berasaskan data, berteraskan keadilan, perpaduan, dan kesejahteraan sejagat.
© 2026 Nusantara Academy of Strategic Research Sdn Bhd. Hak cipta terpelihara. (1248317-V)