Skip to main content

PH perlu jawab naratif politik identiti, bukan sekadar beri alasan


MANTERA yang kerap kali terkumat-kamit pada sebahagian besar penyokong Pakatan Harapan (PH) hari ini sudah tentu menyatakan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hanya tahu memainkan sentimen kaum dan agama yang sempit.

Setiap kali pilihan raya, diagnosisnya hampir sama. Apabila tewas, alasannya juga hampir seragam. Kononnya rakyat termakan propaganda identiti, bukannya menilai dasar dan prestasi.

Barangkali ada benarnya. Namun, persoalan yang lebih penting adalah jika benar lawan menggunakan politik identiti sejak sekian lama, mengapa PH masih gagal menanganinya selepas menjadi kerajaan?

Saya teringat video yang pernah tular ketika kempen pilihan raya. Seorang mak cik berbaju dan berlogo PN ditanya wartawan mengapa beliau menyokong gabungan berkenaan. Jawapannya pendek, tetapi cukup menggambarkan cara sebahagian pengundi berfikir.

“Tak tahulah penyokong PH ini pandai mengucap atau tidak?”

Jawapan itu mungkin kedengaran lucu kepada penyokong PH. Ada yang menganggapnya kolot, ada juga menganggapnya ekstrem. Namun, dalam politik, persepsi lebih mahal berbanding logik. Apa yang ditertawakan satu kelompok kadangkala menjadi keyakinan politik kelompok yang lain.

Ceramah politik, video TikTok, potongan ucapan dan rangkaian WhatsApp sepanjang kempen membuktikan naratif identiti masih menjadi bahasa paling mudah difahami sebahagian pengundi Melayu. Sama ada PH suka atau tidak, gelanggang politik hari ini bukan lagi sekadar gelanggang fakta, tetapi gelanggang persepsi.

Sebab itulah pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Lembaga Tabung Haji (TH) yang sepatutnya menjadi ‘peluru berpandu’ politik PH akhirnya tidak membawa impak diharapkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Isu yang sarat dengan persoalan tatakelola, akauntabiliti dan integriti gagal diterjemahkan menjadi gelombang sokongan di peti undi.

Ironinya, PH seolah-olah berasa mereka menembak tepat ke arah sasaran. Hakikatnya, sasaran itu sudah lama berubah.

Anda boleh saksikan lagi apabila calon PH yang bertanding di Negeri Sembilan, mereka kerap dan tidak lupa untuk mempromosikan kejayaan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, tetapi gagal juga untuk menjadi kerajaan. Helaian demi helaian risalah di bawa ketika kempen dan disumbat ke rumah pengundi tetap juga gagal untuk membentuk kerajaan.

 ‘Mengejar bola, bukan mengawal permainan’ 

Kesilapan terbesar PH bukan kerana mereka tidak mempunyai isu. Mereka mempunyai isu besar daripada 1MDB, projek Kapal Tempur Pesisir (LCS), Jana Wibawa sehinggalah RCI TH. Masalahnya ialah mereka masih percaya politik dimenangi dengan mendedahkan skandal, sedangkan lawan mereka bertanding dalam pertandingan sama sekali berbeza.

PN tidak perlu memenangi hujah ekonomi untuk memenangi emosi. Mereka tidak perlu menjawab setiap dakwaan satu demi satu jika mereka berjaya menentukan apakah soalan yang bermain dalam fikiran pengundi.

Ketika PH bercakap mengenai audit, tadbir urus dan laporan forensik, sebahagian pengundi pula sedang bertanya soalan yang lain: “Siapa yang akan mempertahankan agama aku? Siapa yang menjaga Melayu?”

Dalam politik, orang yang menentukan soalan selalunya tidak perlu bersusah payah menjawab jawapan.

Di sinilah PH kelihatan terus terperangkap. Mereka sibuk menjawab dakwaan yang dicipta lawan, sedangkan lawan sibuk mencipta naratif baharu setiap minggu. Akhirnya, PH menjadi pemain yang sentiasa mengejar bola, bukan mengawal permainan.

Mungkin sudah tiba masanya PH berhenti menyalahkan politik identiti semata-mata. Politik identiti bukan fenomena baharu. Ia sudah wujud sejak merdeka. Yang baharu ialah kegagalan PH memahami bahawa memenangi kerajaan tidak bermaksud memenangi imaginasi rakyat.

Dalam politik, fakta boleh memenangi sidang media. Namun, naratif sering kali memenangi pilihan raya.

Oleh Luthfi Yusri
Penulis ialah Aktivis Ajar Demokrasi

Artikel diterbitkan di: Berita Harian

Baca artikel lain:
Peneraju wacana politik dan geopolitik berasaskan data, berteraskan keadilan, perpaduan, dan kesejahteraan sejagat.
© 2026 Nusantara Academy of Strategic Research Sdn Bhd. Hak cipta terpelihara. (1248317-V)