Malaysia perlu bersedia untuk konflik Hormuz, Laut Merah memuncak selepas pilihan raya AS
PADA November tidak lama lagi, rakyat Amerika Syarikat (AS) akan memilih wakil rakyat negeri masing-masing. Dalam pilihan raya AS midterm 3 November ini bakal menentukan parti mana yang akan mendominasi Dewan Kongres AS serta arah tuju politik AS itu sendiri. Tarikh ini seharusnya diawasi rapat, dalam kalendar mana-mana pengurus bagi subsidi minyak, risiko pengangkutan maritim, atau pembuat dasar luar negara.
Perang antara AS-Israel dan Iran masih tiada penyelesaian untuk jangka masa yang panjang. Minggu selepas pilihan raya mungkin menjadi tempoh paling berbahaya bagi Selat Hormuz dan Laut Merah sejak pertempuran bermula pada 28 Februari tahun ini. Benar, tiada tanda jelas Rumah Putih di Washington ingin memulakan perang semula, tetapi krisis pergelutan dalaman politik di AS menimbulkan ketidaktentuan. Malaysia tidak punyai banyak masa lagi untuk berlengah mempersiapkan diri.
Api Konflik Yang Masih Membara
AS dan Iran berhasil mencapai gencatan senjata melalui Memorandum Persefahaman di Islamabad, Pakistan pada bulan Jun, namun ia tidak bertahan lama. Pada 25 September lalu, Iran telah menghantar pelan damai tujuh hari kepada Washington melalui Qatar. Trump menolak cadangan tersebut keesokan harinya dengan menyatakan Iran sedang menghadapi kerugian dan kekalahan besar.
Trump kemudiannya menafikan laporan bahawa beliau telah menawarkan pengurangan sekatan terhadap Iran. Menteri Luar Negara Iran berkata Tehran tidak akan mundur daripada syarat-syaratnya. Pada 29 September lalu, AS menghukum 10 individu dan entiti termasuk yang berpangkalan di China, Hong Kong, dan Pakistan. Pada saat ini, minyak Brent diperdagangkan pada atau sedikit sahaja melebihi AS$100 setong, kembali kepada harga kemuncak konflik Hormuz harga AS$138 setong pada bulan April lalu.
Hormuz sudah bukan lagi satu-satunya titik tekanan utama. Reuters melaporkan bahawa Rusia dan Arab Saudi telah bersama-sama menyeru agar kapal minyak dapat melintas dengan selamat melalui kedua-dua selat Hormuz dan Bab el-Mandeb selepas laluan eksport Arab Saudi terganggu oleh sekatan Iran dan Houthi. Trump telah membatalkan serangan AS ke atas Houthi pada saat-saat akhir, dan sehingga kini menolak gesaan Arab Saudi untuk menyertai perang saudara di Yaman. Dua selat laluan minyak utama sudah berada di bawah tekanan, dan gencatan senjata pada saat ini adalah keputusan politik Trump, bukanlah satu jaminan kukuh daripada Washington.
Mengapa Pemilihan AS Penting?
Kerajaan AS kini menghadapi tekanan. Dewan Kongres telah meluluskan resolusi kuasa perang untuk ketiga kalinya pada 16 September dengan tujuh ahli Republik menyokong Trump. Namun Dewan Senat menolak resolusi tersebut dengan undi 49 berbanding 50 seminggu kemudian. Reuters/Ipsos mendapati hanya 34 peratus rakyat AS menyokong serangan AS tersebut, dan purata undian umum lebih memihak parti Demokrat sebanyak kira-kira sembilan mata.
Mungkin dilihat mudah untuk kita menyimpulkan bahawa kemenangan parti Demokrat akan mengakhiri perang Iran. Itu tidak benar sepenuhnya. Kongres baharu yang dimenangi Demokrat boleh membatasi pengangkutan dana dan membuka siasatan, tetapi Presiden tetap menjawat jawatan Ketua Angkatan Tentera sehingga bulan Januari 2029 nanti. Kongres baru juga tidak akan bersidang sebelum awal Januari 2027 tahun hadapan.
Jika perubahan berlaku, Trump mempunyai kira-kira sembilan minggu sebelum sidang Dewan bermula. Semasa tempoh ini, seorang presiden yang terdesak akan berbuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa politiknya. Kongres Republik semasa sudah membuktikan mereka tidak akan menghentikan Trump. CNN melaporkan pada awal September bahawa Trump mulai kembali untuk mencapai perubahan rejim di Iran. Tekanan ekonomi sebagai alat utama, buat masa ini kerana kos politik yang lebih rendah. Strategi melemahkan ekonomi Tehran boleh menjadi lebih keras selepas pilihanraya AS jika ia tidak memberikan hasil. Inilah senario yang patut dibimbangkan oleh Kuala Lumpur.
Iran juga memerhati keputusan pilihan raya AS dengan berhati-hati. IRGC baru-baru ini mengeluarkan surat terbuka menyeru rakyat AS menentang tindakan AS terhadap perang di Iran. Seorang penganalisis, Alan Eyre dari Institut Timur Tengah, malah menilai bahawa Tehran mahu mencapai kata sepakat sebelum pemilihan kerana mereka percaya kedudukan tawar-menawar mereka paling kuat sekarang. Dalam mana-mana kes, Iran tidak boleh bergantung pada kejayaan Parti Demokrat. Strategi berdasarkan menunggu perubahan politik Washington menghadapi risiko besar jika Trump memulakan langkah awal.
Jika Perang Iran Bermula Semula, apa respon Malaysia?
Malaysia sering digambarkan sebagai pengeksport tenaga. Data sendiri daripada Perdana Menteri menunjukkan Malaysia adalah pengeksport minyak bersih. Sehingga bulan Mac, Malaysia mengimport minyak sebanyak AS$12.6 bilion berbanding AS$5.5 bilion eksport, dan kira-kira separuh bekalan minyak melalui Hormuz. Bekalan gas kita mencukupi namun ia tidak dapat menyelesaikan masalah secara keseluruhan.
Diplomasi Malaysia sedikit sebanyak membantu. Iran membenarkan kapal Malaysia melintas lebih awal selepas Perdana Menteri melakukan tindakan diplomasi secara berkesan. Tetapi akses kepada Tehran hanya melindungi bekalan fizikal minyak, bukannya harga minyak dunia. Subsidi bahan api meningkat dari kira-kira RM800 juta sebulan sebelum perang kini meningkat sekitar RM5 bilion sebulan pada bulan April. Perdana Menteri telah memberi peringatan bahawa jumlah subsidi boleh mencapai RM40 bilion tahun ini jika harga minyak dunia kekal tinggi.
Jika kedua-dua selat Hormuz dan Laut Merah terganggu serentak, minyak boleh naik jauh melebihi tahap semasa, dan kos subsidi akan meningkat tentunya. Ekonomi ASEAN akan menghadapi stagflasi, dan jiran-jiran Malaysia juga akan merasakan kejutan ekonomi yang sama. Negara-negara sekutu AS seperti Korea Selatan, Jepun dan Australia akan menghadapi tekanan semakin tinggi untuk menyertai operasi ketenteraan. Seoul tidak menolak untuk menghantar tentera ke medan perang namun perlu persetujuan daripada rakyat Korea. Setakat ini, tiada negara boleh menawarkan mekanisme yang dipercayai oleh Washington dan Tehran bagi menjamin kedua-dua selat ini selamat dan terbuka.
Apa Yang Perlu Dilakukan Sebelum 3 November?
Pertama, kaji semula bajet semasa. Perbendaharaan negara dan pakar tenaga perlu memodelkan kos subsidi melebihi RM40 bilion dan bijak membuat keputusan bagaimana cara mengurus stok, kuota, dan sasaran, bukannya improvisation semasa harga naik mendadak.
Kedua, gunakan kedudukan diplomatik Malaysia secara efektif dan melalui pelbagai saluran. Saluran ke Iran, negara-negara Arab di Teluk, ASEAN, dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) merupakan aset berharga. Saat ini paling berguna sebelum konflik terjadi semula ketika Malaysia masih boleh berperanan sebagai negara neutral.
Ketiga, mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber tenaga dan negara sumber. Mempelbagaikan sumber tenaga serta mengurangkan ketergantungan pada Hormuz adalah projek jangka masa panjang, tetapi saat ini jelas masa paling bijak untuk Malaysia bertindak.
Malaysia telah menggunakan pendekatan berhati-hati sehingga sekarang untuk tidak memilih pihak. Bahkan, ia merupakan jalan paling selamat. Soalan yang lebih sukar sama ada Malaysia masih boleh bersikap sedemikian selepas pilihanraya AS akan datang. Pilihan raya midterm tinggal beberapa hari, dan tempoh berbahaya mungkin hanya akan bermula dalam tempoh tidak berapa lama.

Oleh: Auzaie SM,
Penyelidik di Akademi Nusantara untuk Penyelidikan Strategik (NASR)
Artikel ini diterbitkan di: Malaysia Gazette
Kepelbagaian sebagai Kekuatan: Asas Pembinaan Malaysia yang Inklusif