Persiapan rapi hadapi banjir, elak kesan teruk

Masihkah kita ingat, pihak berkuasa Wuhan berjaya menyiapkan sebuah hospital baharu yang diberi nama Huoshenshan, dilengkapi 1,000 katil pesakit dalam tempoh enam hari khas bagi merawat pesakit COVID-19 pada Februari 2020 lalu?

Di Jepun pada 2016 pula ketika berlaku tanah mendap di Fukuoka kerana pergerakan air bawah tanah, tiada laporan sebarang kecederaan yang berlaku. Malah, pihak berkuasa dengan pantas membaiki kerosakan berkenaan dalam tempoh 48 jam.

Di Malaysia pula tentu kita masih ingat bencana alam yang melanda pada hujung 2021 dan awal 2022. Ia dicetuskan oleh Lekukan Tropika yang merentasi tanah Semenanjung dari Laut China Selatan. Ini ditambah dengan musim monsun serta kejadian air pasang hingga menjejaskan beberapa negeri.

Malah, ia turut menyaksikan Lembah Klang berhadapan dengan banjir yang sebelum ini umumnya berlaku di Pantai Timur. Tragedi di Lembah Klang itu disifatkan sebagai antara banjir terburuk dalam sejarah Malaysia moden. Malah ia dibandingkan dengan kejadian sama yang melanda Kuala Lumpur pada 1971 dan tragedi air bah 2014.

Lebih buruk ketika kejadian berlaku Malaysia sedang berhadapan dengan COVID-19.

Dilaporkan negara mengalami kerugian RM6.1 bilion susulan kerosakan harta benda. Namun, paling teruk mungkin kesan yang dihadapi mangsa.

Risiko banjir besar tinggi

Awal Jun lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan bahawa negara akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November yang berpotensi membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan.

Cuaca yang terjadi dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut aktif pada tempoh itu. Justeru, risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Bagaimanapun dalam pada peringatan dan ramalan cuaca dihebahkan kita mendengar mengenai ura-ura pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akhir tahun ini.

Hal ini perlu dielakkan kerana realitinya jika pilihan raya diadakan, adakah bot untuk menyelamatkan rakyat akan diutamakan atau bot untuk berkempen dan mengangkut pengundi akan menjadi keutamaan?

Bencana banjir bukan perkara yang boleh dianggap gurauan atau ringan. Hakikatnya, rakyat kehilangan harta benda, malah mungkin orang tersayang.

Apa yang perlu diutamakan adalah membuat persiapan serius dan rapi untuk mendepani banjir supaya rakyat tidak terkesan teruk seperti mana sebelum ini.

Jika China dan Jepun boleh bersiap sedia untuk berhadapan dengan musibah yang melanda mereka, mengapa kita tidak mampu?