Satu Bangsa, Satu Parti?

Oleh : Syed Shahfiq
(Penyelidik Sosial, Nusantara Academy for Strategic Research) 

Pendahuluan

Polemik seruan penyatuan ummah atau penyatuan Melayu yang hangat semula baru-baru ini ekoran kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh, mengajak kita semua untuk kembali merenung dan bermuhasabah, mampukah sebuah gabungan yang menggabungkan semua parti-parti Melayu ini duduk semeja untuk membentuk sebuah kerajaan dan mempertahankan kestabilan kerajaan tersebut? Tidak kah sejarah dan pengalaman lampau cukup untuk mengajar rakyat, terutamanya pengundi Melayu, bahawa sekiranya sebuah gagasan atau payung besar Melayu cuba untuk diwujudkan, pasti akan ada konflik yang memecahkannya, ironinya adalah, konflik tersebut tidak datang daripada parti seteru, tetapi dari rakan parti dalam gabungan itu sendiri.

Artikel ini mengajak kita semua untuk kembali merenung sejarah gabungan kerjasama politik Melayu-Islam, adakah mungkin sebuah gabungan Melayu sepenuhnya terjadi dan apakah implikasinya kepada fabrik sosial masyarakat Malaysia?

Iktibar daripada Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional

Penyatuan Melayu bukanlah seruan yang baharu, seruan yang sama pernah kedengaran ketika era COVID-19 dengan wujudnya Muafakat Nasional (MN), satu gagasan kerjasama yang tidak rasmi antara UMNO dengan PAS. Kemudian Muafakat Nasional ini “dikuatkan” lagi dengan kebersamaan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang turut dianggotai oleh PAS. Meskipun UMNO tidak secara rasmi menyertai PN, kerana mempertahankan gabungan Barisan Nasional (BN), kewujudan entiti PN dianggap sebagai “selari” ketika itu dengan pendirian UMNO yang pro-Melayu.

Setelah hampir dua tahun usia MN, keutuhan “kerjasama” tersebut diuji apabila DUN Melaka menyaksikan berlakunya peristiwa penarikan sokongan kepada Ketua Menteri Melaka ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali. Kesemua ahli DUN yang menarik sokongan itu adalah ADUN Melayu yang dua daripadanya adalah ADUN UMNO, seorang daripada Bersatu dan seorang bekas ahli DAP. Ekoran daripada kejadian tersebut, Ketua Menteri ketika itu telah membubarkan DUN Melaka dan PRN Melaka pun dilaksanakan dengan menyaksikan pertembungan UMNO dengan PAS dan Bersatu. Di mana penyatuannya? Formula MN telah kecundang, seawal di Melaka pada PRN Melaka 2021, kemudian kecundang pada PRN Johor Mac 2022 dan sememangnya kecundang di peringkat Persekutuan ketika PRU-15 November 2022.

Pasca PRU-15, apabila tidak ada satu pun parti yang memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong ketika itu telah menitahkan supaya dibentuk kerajaan perpaduan, antara PN dan Pakatan Harapan (PH). Seruan kedua untuk menyatukan orang Melayu, setelah MN, tapi kali ini datang daripada Duli Tuanku. Tetapi apa yang berlaku adalah PN telah menolak seruan tersebut. Jika PN, terutamanya PAS komited ke arah penyatuan orang Melayu dan parti Melayu, mengapa pelawaan dan seruan mulia itu tidak disahut? Bukankah Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat  (Keadilan) itu ahlinya adalah majoriti Melayu? Kita semua maklum apa yang terjadi seterusnya, UMNO lah yang menyahut dan menjunjung seruan mulia itu, membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan. Peristiwa itu bukan hanya menyatukan parti Melayu, tetapi semua parti yang sebelum ini berseteru, dengan tujuan yang sama, iaitu untuk membentuk sebuah kerajaan yang stabil untuk rakyat Malaysia.

Timbul persoalan penting daripada kedua-dua peristiwa tersebut, apakah yang dimaksudkan dengan “penyatuan Melayu”? Adakah Melayu hanya akan dianggap bersatu jika “parti Melayu” dan “orang Melayu” yang mereka sokong menjadi kerajaan? Inilah persoalan penting yang perlu dijawab oleh penyeru “penyatuan Melayu”.

Populisme dan Polarisasi Undi

Kalau pun “penyatuan” parti Melayu itu benar-benar terjadi, timbul persoalan yang kedua pula, apakah yang akan terjadi kepada keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa di negara kita? PRU-15 yang lalu menyaksikan kebangkitan populisme, iaitu penggunaan naratif “kami lawan mereka” dalam kalangan parti-parti yang bertanding. Modal agama dan bangsa digunakan sebagai modal kempen politik secara meluas, sama ada di platform atas talian mahupun di lapangan. PRU-15 juga menyaksikan berlakunya polarisasi undi yang parah, di mana kawasan kerusi yang majoriti pengundinya adalah Melayu dan luar bandar cenderung untuk dimenangi oleh PN, manakala kawasan bandar dan kerusi campuran dimenangi oleh PH. Jika situasi ini dibiarkan berlanjutan, adakah jurang antara kaum, terutamanya jurang toleransi dan pemahaman akan semakin membesar? Ini persoalan kritikal yang perlu untuk kita renungkan bersama.

Politik di Malaysia sepatutnya berlandaskan kepada bukti dan data, bukan hanya berpaksikan politik ketakutan (fear mongering) yang sentiasa berkisar kepada hak Melayu akan terancam, atau orang bukan Melayu akan menguasai negara, dan momokan bahawa kedudukan agama Islam akan terjejas. Ini semua tidak akan berlaku selagi mana Raja-Raja Melayu dan Perlembagaan Persekutuan masih utuh berdiri sebagai pelindung kepada orang Melayu, dan rakyat seluruhnya. Kita, terutamanya orang Melayu perlu sama ke hadapan, membincangkan berkenaan dengan penggunaan kecerdasan buatan (AI) dalam penyelidikan, atau tenaga boleh baharu, dan perkara yang memajukan akal dan bangsa kita, jika kita benar-benar sayang dan pedulikan kepada negara dan bangsa ini, sekiranya tidak, kita akan terus ketinggalan dan terperangkap di dalam ketakutan yang kita sendiri ciptakan.

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan di awal, mampukah orang Melayu bersatu? Kita semua sudah lama bersatu, bersatu atas semangat Islam dan akidah, taat setia hanya kepada Allah dan syariat-Nya. Penyatuan Melayu tidak boleh hanya berasaskan kepada politik sempit, ia sepatutnya melangkaui segala bentuk kebendaan. Orang Melayu perlu bersatu kerana syahadahnya. Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sentiasa berpesan, “Kita semua ini datang dari bapa yang sama, iaitu Adam A.S”, tidak ada perbezaan antara kita.

Maka, kembalilah kepada penyelesaian Islam yang sebenar, iaitu melaksanakan urusan dunia dengan rahmah dan keadilan. Bangsa bukanlah perkara pokok dalam agama kita, dalam khutbah terakhir Rasulullah SAW, baginda menekankan bahawa manusia semuanya adalah sama di sisi Allah SWT, dan yang membezakan kita semua adalah takwa dan keimanan kepada-Nya. Allah SWT menciptakan perbezaan antara manusia sebagai ruang untuk bertaaruf, seperti firman-Nya dalam Surah Al-Hujurat ayat 13, yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Rakyat Malaysia, terutamanya orang Melayu perlu kembali semula kepada hakikat bahawa negara kita ini dibina dengan toleransi, penerimaan dan kasih sayang. Tanggungjawab kita adalah untuk sentiasa menjunjung Prinsrip Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan, terutama prinsip kelima iaitu kesopanan dan kesusilaan. Tunku Abdul Rahman, serta ibu bapa kita yang terdahulu telah membina Malaysia dengan bersama, tanpa mengira agama dan bangsa, menuju kepada cita-cita kita yang mulia, iaitu untuk membina sebuah Malaysia yang harmoni dan berjaya.