Daripada Persepsi kepada Keyakinan: Pertaruhan 13 Kerusi PKR di Sabah

Permintaan Nurul Izzah Anwar agar PKR diberi 13 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Sabah akan datang membuka semula perdebatan tentang pendekatan kepimpinan dalam parti itu. Walaupun beliau menyatakan hasrat tersebut sebagai strategi pengukuhan PKR di peringkat nasional, beberapa pihak di Sabah dan Sarawak melihatnya sebagai langkah terburu-buru, bahkan beranggapan bahawa beliau cuba mengeksploitasi isu tempatan tanpa rundingan mendalam di peringkat akar umbi.

Reaksi yang muncul daripada pemimpin tempatan dan ahli parti sendiri menunjukkan bahawa masih wujud kekangan penerimaan terhadap gaya kepimpinan baharu ini. Senario ini merupakan satu sentimen yang sebenarnya turut dikesan lebih awal melalui tinjauan awam yang kami telah jalankan sejurus selepas pemilihan PKR tempoh hari. Reaksi awal yang dirakan dalam tinjauan pada 26 Mei hingga 2 Jun ini menggambarkan terdapat ketidakyakinan sebahagian besar responden terhadap kelayakan Nurul Izzah memimpin PKR. Trend yang sama dilihat dari kelompok responden yang merupakan ahli PKR dan ahli parti komponen PH itu sendiri di mana sebahagian besar menyatakan tidak bersetuju dan sangat tidak bersetuju dengan kelayakan beliau sebagai Timbalan Presiden.

Sebanyak 69% responden melihat masa depan PKR semakin lemah dan berpecah selepas isu pemilihan Timbalan Presiden, manakala hanya 15% berpandangan parti akan kekal seperti sebelumnya. Corak pandangan yang sama turut direkodkan dalam kalangan responden yang merupakan ahli PKR sendiri, yang mungkin menggambarkan wujudnya erosi keyakinan dalaman yang boleh menjejaskan kekuatan jentera dan semangat akar umbi.

Persepsi terhadap imej PKR pasca pemilihan ini perlu diberi perhatian serius memandangkan parti tersebut merupakan komponen utama dalam Pakatan Harapan. Sekiranya persepsi ini tidak ditangani, ia mungkin menjadi petanda awal kepada kesukaran PKR meraih sokongan popular dalam Pilihan Raya Negeri akan datang, termasuk di Sabah yang kini menjadi medan ujian yang terkini bagi kekuatan dan penerimaan parti.

Sebahagian besar responden yang tidak meyakini kelayakan kepimpinan Nurul Izzah turut berpandangan bahawa masa depan PKR akan menjadi semakin lemah dan berpecah. Sebaliknya, majoriti dalam kalangan mereka yang bersetuju dengan kelayakan beliau pula melihat PKR berpotensi untuk kekal stabil atau menjadi lebih kuat dan bersatu.

Menariknya, walaupun menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Nurul Izzah, terdapat 23% daripada kumpulan ini yang tetap menyuarakan kebimbangan bahawa PKR mungkin akan terus berpecah dan menjadi lemah. Dapatan ini menunjukkan bahawa keyakinan terhadap tokoh tidak semestinya memaknakan keyakinan terhadap kestabilan parti. Golongan penyokong yang yakin pada kepimpinan Nurul Izzah perlu diberi perhatian dan didekati secara strategik. Justeru, strategi pemulihan dalaman dan komunikasi politik yang lebih bersepadu perlu dibentuk agar sokongan bukan sahaja kepada pimpinan, tetapi juga kepada sistem parti yang dibina.

Sebahagian besar responden berpandangan bahawa kekalahan Rafizi Ramli dalam pemilihan Timbalan Presiden PKR akan melemahkan pasukan strategik Pakatan Harapan. Persepsi ini memperlihatkan bahawa rekod prestasi Rafizi sebagai ‘strategic brain’ parti sebelum ini mempunyai pengaruh besar terhadap keyakinan akar umbi.

Dalam masa yang sama, Nurul Izzah meskipun dilihat sebagai ikon reformis, masih belum terbukti sebagai pemimpin yang mampu mengemudi jentera politik berskala besar, khususnya dalam konteks pilihan raya. Beliau belum benar-benar diuji dalam medan politik pilihan raya secara langsung (battle-tested), dan ini menjadi antara sebab wujudnya keraguan.

Malah, terdapat sebahagian pandangan yang mengaitkan kemenangan beliau bukan kerana kekuatan kelayakan, tetapi sebagai manifestasi penolakan terhadap Rafizi yang dilihat kurang mesra akar umbi. Pandangan ini turut disokong oleh dapatan tinjauan kami, yang menunjukkan sebahagian besar responden berpandangan bahawa beliau masih belum terbukti dalam aspek kepimpinan gerak kerja pilihan raya.

Kebanyakan responden turut beranggapan bahawa keyakinan rakyat terhadap PKR semakin terjejas susulan pemilihan yang menampakkan parti seolah-olah didominasi oleh keluarga. Persepsi nepotisme ini timbul apabila pengaruh keluarga dilihat begitu ketara, bertentangan dengan imej PKR sebagai parti reformasi dan meritokrasi yang selama ini diperjuangkan.

Dalam hal ini, PRN Sabah adalah medan penting buat Nurul Izzah untuk membuktikan kemampuan sebenar dalam aspek gerak kerja politik, termasuk penglibatan langsung dalam perancangan jentera dan turun padang secara konsisten di Sabah. Gelaran ‘Puteri Reformasi’ tidak seharusnya kekal sebagai simbol semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada kepimpinan yang progresif dan berpandangan jauh, bukan sekadar bersifat reaktif terhadap kritikan.

Sebahagian besar responden masih meletakkan sokongan terhadap Pakatan Harapan, namun atas alasan ketiadaan pilihan lain yang lebih diyakini. Empat pandangan utama yang telah dikenal pasti dalam tinjauan ini iaitu kelemahan pasukan strategi akibat kekalahan Rafizi, kepimpinan Nurul Izzah yang belum terbukti, persepsi nepotisme, dan sokongan bersyarat terhadap PH, semua ini menunjukkan corak yang konsisten merentasi semua kategori responden; sama ada ahli PKR, komponen PH, parti lawan mahupun yang tidak menjadi ahli parti. Keseluruhannya, pandangan ini didominasi oleh rasa kurang keyakinan terhadap kepimpinan Nurul Izzah.

Pun begitu, terdapat sebahagian kecil responden yang menyatakan keyakinan terhadap kelayakan Nurul Izzah dengan syarat beliau disokong oleh pasukan yang mantap dan kompeten. Dalam kalangan kumpulan ini, sebahagiannya menyokong PH kerana tiada pilihan lain, manakala selebihnya memetik prestasi pentadbiran yang baik sebagai asas keyakinan mereka.

Berdasarkan dapatan ini, Nurul Izzah perlu segera memulihkan dan mengukuhkan pasukan politik di sekeliling beliau. Sokongan perlu dibina melalui pasukan yang strategik dan berpengalaman, bukan sekadar terdiri daripada penyokong yang terikat atas nama keluarga. Nurul Izzah wajar meraih sokongan serta membentuk barisan kerja bersama tokoh-tokoh PKR yang terbukti kredibilitinya, termasuk pemimpin seperti Datuk Seri Saifuddin Nasution serta golongan strategis parti yang pernah menjadi tulang belakang dalam kempen pilihan raya sebelum ini. Pendekatan ini bukan sahaja mampu memperkukuh keyakinan akar umbi, malah menunjukkan komitmen beliau untuk memimpin berdasarkan keupayaan dan pengalaman kolektif, bukan warisan individu.

Dari segi komunikasi politik, pendekatan yang lebih tersusun dan menyeluruh perlu dirangka untuk memulihkan keyakinan terhadap prestasi Pakatan Harapan. Naratif kepimpinan mesti dibina di atas asas pencapaian sebenar serta hala tuju yang jelas dan meyakinkan. Strategi komunikasi perlu digerakkan secara konsisten, menyampaikan mesej yang segar dan berfakta kepada rakyat bukan sekadar untuk mempertahankan kedudukan, tetapi membina kembali kepercayaan yang tulen. Dalam suasana politik yang semakin mencabar, kempen dan gerak kerja komunikasi harus mampu mengangkat prestasi dan menjawab persepsi bagi memastikan rakyat semakin yakin terhadap kerajaan PH.

Walaupun tinjauan ini tidak mendakwa mewakili keseluruhan populasi nasional, dapatan adalah signifikan mencerminkan gambaran awal reaksi sokongan terutamanya apabila dilihat kepada latar belakang responden yang terlibat. Majoriti mereka terdiri daripada kelompok berpendidikan tinggi serta berpengalaman politik, khususnya Generasi X dan Baby Boomers, yang mana aktif mengikuti perkembangan politik negara. Ini adalah golongan yang berpindidikan tinggi, celik maklumat, kritikal, dan lazimnya aktif menilai arah tuju parti serta kepimpinan. Penyertaan daripada pelbagai latar politik termasuk ahli PKR, komponen PH, pembangkang serta bukan ahli mana-mana parti, turut menambahkan kekayaan perspektif dan memperkukuh kredibiliti tinjauan ini.

Tinjauan ini juga dilakukan ketika isu masih hangat. Justeru ia bukan sekadar data awal, tetapi gambaran pandangan akar umbi yang mesti ditanggapi secara strategik. Dalam politik, persepsi adalah penting bagi pembentukan momentum sokongan. Justeru, segala isyarat awal harus diterjemahkan kepada tindakan yang progresif dan inklusif. Apapun PRN Sabah nanti akan menjadi medan penentu sama ada kepimpinan PKR, khususnya Nurul Izzah, berjaya mengubah persepsi kepada keyakinan.

Artikel ini disediakan oleh Putri Noradyani binti Megat Hashim, Pengurus Pentadbiran dan Perniagaan NASR.

Disclaimer : Artikel ini berdasarkan tinjauan awal secara dalam talian berkenaan persepsi terhadap pemilihan Timbalan Presiden PKR (26 Mei – 2 Jun 2025). Walaupun tidak mewakili populasi nasional secara statistik, dapatan ini mencerminkan sentimen awal golongan celik isu dan aktif politik yang wajar diberi perhatian dalam merangka strategi kepimpinan.