Perpaduan Kaum di Malaysia: Menyulam Harmoni dalam Kepelbagaian

Oleh : Putri Noradyani Megat Hashim (Pengurus, Nusantara Academy for Strategic Research)

Malaysia merupakan sebuah negara majmuk yang kaya dengan kepelbagaian etnik, budaya, agama, dan bahasa. Sejak merdeka, perpaduan kaum menjadi asas kepada kestabilan politik dan kemajuan sosial. Namun, realiti semasa menunjukkan bahawa terdapat isu perpaduan tidak boleh diambil mudah khususnya melibatkan sosiopolitik. Membina perpaduan memerlukan usaha berterusan melibatkan pelbagai sektor pendidikan, media, politik dan dasar awam, agar keharmonian dapat terus dipelihara dan diperkukuh.

Beberapa kajian mutakhir menunjukkan bahawa tahap perpaduan kaum di Malaysia berada pada paras sederhana. Kajian Rosli et al. (2024), yang melibatkan 490 responden di Pulau Pinang, mendapati hubungan etnik berdasarkan dimensi akomodasi, asimilasi dan akulturasi masih berada di tahap pertengahan. Ini menunjukkan interaksi antara kaum itu wujud, namun belum cukup mendalam untuk membentuk integrasi yang kukuh.

Dalam konteks pendidikan pula, sistem vernakular sering kali menjadi topik perdebatan awam. Namun, kajian oleh Lee (2023) membuktikan bahawa pelajar dari pelbagai latar belakang tidak melihat sekolah vernakular sebagai penghalang utama kepada perpaduan. Sebaliknya, mereka menilai kepelbagaian budaya dan bahasa sebagai ruang untuk saling memahami. Persepsi ini diperkuat oleh kajian Radzlan et al. (2025) yang meneliti bagaimana proses sosialisasi dalam kalangan pelajar Melayu membentuk sikap terhadap kaum lain. Keputusan menunjukkan bahawa norma sosial yang positif dan interaksi langsung memainkan peranan penting dalam membina keyakinan dan keterbukaan terhadap perbezaan.

Di era digital, media sosial juga memainkan peranan. Ia boleh menjadi jambatan atau membentuk jurang antara kaum. Kajian Saidin dan Azrun (2024) mendedahkan bahawa kempen politik dalam talian sering disulami dengan retorik keagamaan dan perkauman yang bersifat polarisasi. Fenomena ini bukan sahaja merosakkan persepsi antara kumpulan etnik, malah melebarkankan jurang politik dan ideologi dalam kalangan rakyat. Namun, kajian Abu Bakar dan Daud (2023) pula membuktikan media sosial berkesan digunakan untuk memperkukuh hubungan kaum dan masyarakat, di mana komuniti minoriti di Melaka telah menggunakan media sosial untuk mempromosikan warisan budaya mereka.

Satu aspek yang sering diabaikan dalam wacana perpaduan adalah soal representasi dan keadilan struktur. Kajian Commings (2023) menunjukkan bahawa model politik ‘consociational‘ di mana kuasa dibahagi secara adil antara kumpulan etnik, dapat meningkatkan rasa kebersamaan dalam kalangan belia. Apabila individu merasa suara mereka didengari dan diwakili, mereka lebih cenderung mengutamakan identiti nasional berbanding semangat perkauman yang sempit.

Oleh itu, perpaduan tidak harus hanya difahami sebagai toleransi yang bersifat ‘surface’. Ia harus mendasar kepada interaksi bermakna, keadilan struktur dan rasa pemilikan serta kebersamaan. Inisiatif memperkukuhkan perpaduan ini memerlukan pembaharuan dalam dasar pendidikan, pengawalan kandungan media, dan pendekatan politik yang lebih inklusif. Dalam masyarakat yang berbeza budaya dan ideologi, keterbukaan untuk berdialog, berempati dan bekerjasama juga menjadi asas untuk menjalin keharmonian.

Perbezaan agama dan bangsa tidak lagi seharusnya mnjadi penghalang untuk mewujudkan rasa kebersamaan sebagai rakyat yang beridentiti sama. Malaysia, walau dengan pelbagai cabaran, tetap berpotensi menjadi contoh negara berbilang kaum yang matang dan bersatu, jika usaha memelihara keharmonian dilakukan secara berterusan dan kolektif.


RUJUKAN:

Abu Bakar, N., & Daud, M. (2023). Perception and impact of social media on unity among minority groups in Melaka. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 13(12), 1551–1564. https://www.researchgate.net/publication/366471627

Commings, S. (2023). Consociational politics as a mediating effect in enhancing ethnic unity among youth in Malaysia. Ethnicities, 23(6), 1098–1116. https://doi.org/10.1177/14687968231204667

Lee, Z. H. (2023). Three major racial groups’ perceptions of Malaysia’s national vernacular education system. Social Science Research Network. https://papers.ssrn.com/sol3/papers.cfm?abstract_id=4346070

Radzlan, R., Shahrimin, M. I., Rosnon, M. R., & Abang Abai, D. S. (2025). The socialization spectrum: Malay students and interethnic engagement. International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, 15(1), 311–324. https://www.researchgate.net/publication/388410961

Rosli, N. F., Ngah, K., & Zolkafli, A. (2024). Strengthening unity through race relations in Malaysia. International Journal of Research Publication and Reviews, 5(3), 1260–1272. https://www.researchgate.net/publication/379058921

Saidin, M. I. S., & Azrun, N. (2024). Digital media and religious sentiments in Malaysia: Critical discourse analysis of Pan‑Malaysian Islamic Party and Democratic Action Party cyberspace campaigns in the 15th general election. Religions, 15(8), 920. https://doi.org/10.3390/rel15080920