Konflik Sempadan Thailand-Kemboja:Percaturan Realpolitik & Pendekatan Baru Malaysia Sebagai Pendamai

Oleh : Auzaie SM (Penyelidik Geopolitik, Nusantara Academy for Strategic Research, NASR)

Konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja bukanlah isu baharu. Ia berakar daripada perjanjian kolonial antara Siam (Thailand) dan Perancis pada tahun 1904 dan 1907, ketika Kemboja berada di bawah naungan Perancis. Dalam perjanjian tersebut, sempadan ditentukan berdasarkan garis pemisah semula jadi (watershed). Peta yang dilukis oleh jurukur Perancis menunjukkan kawasan Kuil Preah Vihear berada dalam wilayah Kemboja, walaupun secara geografi ia terletak di tebing tinggi yang lebih mudah diakses dari Thailand.

Thailand menerima peta tersebut tanpa bantahan rasmi. Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada tahun 1962 memutuskan bahawa Kuil Preah Vihear adalah milik Kemboja. Namun, keputusan itu tidak menyelesaikan sepenuhnya pertikaian antara kedua-dua negara. Kawasan sekitar kuil Preah Vihear dan Kuil Ta Muen Thom sepanjang sempadan 800km tidak dimuktamadkan dan ini membuka interpretasi untuk konflik di masa akan datang.

Berbalas Serangan di Sempadan

Konflik kembali memuncak pada 28 Mei 2025, apabila seorang askar Kemboja ditembak mati dalam satu insiden di sempadan Thailand-Kemboja. Pada 23 Jun, lima askar Thailand cedera parah akibat letupan periuk api yang didakwa Thailand, telah dipasang oleh Kemboja. Susulan itu, Thailand terus mengerahkan jet pejuang F-16, melancarkan serangan udara ke atas kedudukan tentera Kemboja. Kemboja membalas serangan Thailand dengan tembakan artileri dan roket BM-21, menyebabkan kematian dan kecederaan di kedua-dua belah pihak. Lebih 140,000 penduduk telah berpindah dari daerah-daerah bergolak, di 7 kawasan sempadan Thai-Kemboja.

Realpolitik Thailand dan Kemboja

Persoalan yang lebih musykil, apakah Konflik Sempadan yang berlarutan sejak Mei 2025 sehingga kini adalah cetusan daripada krisis politik yang semakin kompleks di kedua-dua negara? Di Thailand, ketidakstabilan politik dalaman memuncak apabila Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra digantung jawatan oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand. Hal ini susulan bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen mendedahkan di media sosial, perbualan telefon mereka berdua pada bulan lalu.

Dalam perbualan telefon tersebut, Paetongtarn anak bekas Perdana Menteri Thailand Thaksin, dilihat mesra menggunakan panggilan ‘pakcik’ kepada Hun Sen. Paetongtarn dalam perbualan tersebut, mengadu tidak selesa dengan campur tangan tentera Thailand dalam urusan pentadbiran. Kini, Paetongtarn digantung oleh Mahkamah Perlembagaan Thailand. Ketidakstabilan ini bakal digunakan sebaiknya oleh tentera Thailand untuk melantik Kerajaan yang mesra kepada pihak tentera Thailand. Jika tidak, mereka mungkin bakal melakukan kudeta sekali lagi.  

Perdana Menteri Kemboja sekarang ini iaitu Hun Manet adalah anak kepada bekas Perdana Menteri Kemboja, iaitu Hun Sen. Beliau mengambil pendekatan lebih agresif, termasuk menghantar nota bantahan kepada Majlis Keselamatan PBB dan ASEAN. Hal ini pastinya untuk menaikkan sentimen nasionalis bagi mendapatkan sokongan daripada rakyat Kemboja. Penting untuk kita perhatikan adalah Presiden Amerika Syarikat adalah rakan baik Thailand. China juga mempunyai hubungan rapat dengan Kemboja. Kedua-dua kuasa besar ini mempunyai kepentingan pengaruh di dalam konflik sempadan ini.


Peranan Malaysia Dalam Mendamaikan Konflik

Konflik sempadan Thailand-Kemboja yang memuncak pada Mei 2025 telah membuka ruang bagi Malaysia memainkan peranan diplomatik yang signifikan. Ketika insiden tembakan dan serangan artileri semakin memburuk, Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, tampil menyeru kedua-dua negara agar mengutamakan keamanan. Dalam suasana tegang yang mengancam kestabilan serantau, Malaysia menawarkan Putrajaya sebagai lokasi rundingan damai, disokong oleh ASEAN dan komuniti antarabangsa. Rundingan rasmi berlangsung dari 30 Jun hingga 2 Julai, dihadiri delegasi penuh Thailand dan Kemboja, serta wakil pemerhati dari ASEAN dan Sekretariat PBB.

Pendekatan Malaysia memperlihatkan pendirian luar biasa apabila memilih intervensi damai, walaupun bertentangan dengan prinsip ‘non-intervention’ yang lazim diamalkan oleh ASEAN. Anwar menegaskan bahawa konflik sempadan ini bukan isu dua negara semata-mata, tetapi mempunyai implikasi kepada keselamatan, ekonomi dan integrasi rantau Asia Tenggara. Malaysia dilihat mengaplikasikan pendekatan “intervensi aman” yang menghormati kedaulatan negara anggota, namun tetap membenarkan diplomasi aktif dalam menangani krisis. Pendekatan ini dikenali sebagai ‘ASEAN Regionalism with Responsibility’, yang mula diperkenalkan selepas Sidang Kemuncak ASEAN di Phnom Penh pada 2022.

Anwar menggesa agar ASEAN bersatu sebagai satu suara serantau dalam mengekalkan kestabilan geopolitik. Malaysia dilihat sebagai negara pengimbang, tidak memihak, namun komited terhadap keamanan kolektif. Langkah ini dilihat akan memperkukuh identiti Malaysia sebagai pemimpin diplomatik dalam ASEAN. Konflik Thai-Kemboja ini telah mengangkat kematangan dasar luar Malaysia yang lebih berstrategik. Namun cabaran yang lebih besar adakah de facto yang memegang kuasa di sebalik politik Thailand, mampu untuk tunduk dan patuh kepada rundingan damai yang telah termeterai di Putrajaya.

Kesimpulan

Konflik Thailand-Kemboja mencerminkan pertembungan sejarah dan realpolitik serantau, dipacu ketidakstabilan politik dalaman serta percaturan kuasa elit di Thailand dan Kemboja. Malaysia mengangkat pendekatan intervensi damai yang bertanggungjawab, sekali gus mencabar prinsip non-intervention ASEAN. Rundingan di Putrajaya memperkukuh identiti diplomatik Malaysia sebagai negara pengimbang yang mengutamakan kestabilan kolektif. Konflik ini bukan sahaja menguji krisis konflik sesama negara ASEAN, malah menguji keupayaan ASEAN sebagai satu organisasi serantau dalam menangani krisis. Penyelesaian jangka panjang bergantung kepada empati sejarah, dialog berterusan dan keberanian negara anggota mengutamakan perpaduan serantau berbanding kepentingan mereka sendiri.

Artikel ini pernah disiarkan dalam Malaysia Gazette pada Ogos 2025. Klik di sini untuk mengikuti artikel tersebut.