Apakah PH-BN bakal tumbang pada PRU-16 nanti?

Perubahan politik telah menjadi trend yang tidak lagi mengejutkan dalam politik Malaysia semenjak PRU 2008. Bermula dengan ‘tsunami Cina’ yang menyaksikan BN hilang dua per tiga majoriti dalam Dewan Rakyat sehinggalah kepada ‘Gelombang Hijau’ dalam PRU 2022 yang menyaksikan peralihan besar undi Melayu kepada gabungan PN, kesemua trend ini berlaku secara berterusan. Persoalannya, adakah perkara yang sama akan dilihat dalam PRU-16?

Pengaruh besar PN pada PRU yang lalu adalah disumbangkan oleh peningkatan mendadak pengundi muda melalui Undi18 dan kempen yang berkesan melalui TikTok, serta undi orang Melayu terutama di kawasan luar bandar kepada PN. Melihatkan kepada tiga faktor utama ini, kita boleh membuat tekaan awal, apakah yang akan berlaku dalam PRU 16. Dari segi sokongan Melayu, PN telah meraih sokongan maksimum dengan kemenangan sehingga 74 kerusi di kebanyakan kawasan majoriti Melayu termasuklah di kubu kuat PH di Permatang Pauh, serta kubu kuat BN di Gua Musang, Arau, Pasir Salak dan banyak lagi kawasan majoriti Melayu di Semenanjung.

Sekiranya gabungan itu hendak membentuk kerajaan di Putrajaya, mereka perlu untuk menarik undi dari bukan Melayu, ataupun golongan Melayu bandar, yang kedengaran agak sulit melihatkan kepada jenama PN itu sendiri yang bercirikan ultra Melayu-Islam. Kaedah yang kedua adalah dengan membentuk kerjasama dengan DAP, yang juga kedengaran agak mustahil melihatkan kepada ketegangan yang berlaku antara dua parti berkenaan. Jika wujud pun kerjasama antara PAS dan PH, apakah nasib yang akan menimpa parti pecahan PAS, iaitu Amanah?

Maka, undi Melayu dalam PRU hadapan dilihat tidak menjadi pemboleh ubah besar dalam  membuat sebarang perubahan, melihatkan kepada tingkah laku pengundi Melayu yang masih cenderung kepada PN, terutamanya PAS.

Faktor yang lebih kritikal adalah undi anak muda. Pada PRU 2022 yang lalu, kumpulan ini membentuk lebih daripada separuh daripada pengundi berdaftar. Menurut kajian dari  Tunku Abdul Rahman University of Management and Technology (TAR UMT), pengundi berumur 18 sehingga 39 tahun di negara ini membentuk 50.3% daripada jumlah keseluruhan pengundi pada PRU 15 yang lalu, jumlah ini dijangka akan bertambah pada PRU 16 akan datang.

Sekiranya anak muda merasakan kerajaan Anwar mampu untuk menyentuh hati nurani mereka, peralihan undi kepada PH-BN boleh berlaku dengan mendadak. Caranya adalah dengan penguasaan dalam media sosial, terutamanya TikTok. Tapi melihatkan kepada kelemahan kerajaan dalam mengawal naratif media dan pandangan awam, peralihan undi anak muda juga dinilai sebagai senario yang mungkin tidak akan berlaku. Kesimpulannya, perubahan besar dalam PRU-16 adalah senario yang tidak dapat berlaku jika hanya melihat kepada tiga faktor utama tadi. Faktor penentu yang lainnya adalah seperti kesetiaan UMNO kepada gabungan dalam Kerajaan Perpaduan, keutuhan gabungan PN yang melihatkan beberapa episod perselisihan di antara pimpinan PAS dan Bersatu serta kecenderungan parti Sabah Sarawak dalam memilih rakan kerjasama daripada parti Semenanjung. Prestasi Kerajaan Anwar hari ini mungkin atau juga tidak mungkin menjadi penentu kemenangan dalam PRU-16 nanti. Di dalam politik, apa juga boleh berlaku.

Artikel ditulis oleh Syed Mohamad Shahfiq bin Syed Mohd Suhaimi, Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research