APABILA Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan bahawa Malaysia dan dunia perlu bersedia dengan pentadbiran baharu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ternyata ia tepat sekali.
Ini kerana tidak sampai 48 jam mengangkat sumpah, Trump sudah melaksanakan janji kempen pilihan raya dengan ‘arahan eksekutif presiden’.
Trump mengisytihar darurat di sempadan Mexico demi membolehkan tentera mengawal pintu masuk sempadan.
Buat kali kedua, beliau mengheret AS keluar daripada Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menarik sekali apabila Trump melalui kuasa pengampunan, membatalkan hukuman penjara ke atas semua ‘perusuh 6 Januari 2021’, termasuk yang disabitkan kesalahan ganas dan mencederakan anggota polis di bangunan State Capitol.
Tindakannya dalam tempoh 48 jam itu boleh dianggap ekstrem, termasuk membatalkan semua 78 arahan eksekutif Presiden Joe Biden sebelum ini.
Ini hakikat perlu diterima kerana semuanya adalah janji kempen Trump tempoh hari.
Cuma tindakan itu dianggap mengejutkan kerana sebelum ini tidak ramai menyangka beliau mampu meraih kemenangan pemilihan presiden yang dilangsungkan tahun lalu.
Mungkin ada hikmahnya apabila calon Setiausaha Pertahanan, Peter Hegseth, apabila ditanya dalam sesi temu bual calon Kabinet mengenai ASEAN dalam konteks strategi pertahanan AS di Asia Pasifik, beliau sukar mencari jawapan.
Lebih buruk lagi apabila Hegseth diminta menamakan sebuah negara menganggotai ASEAN. Beliau gagal menjawab sebaliknya menyebut nama negara seperti Korea Selatan dan Jepun, iaitu sekutu kuat AS di rantau ini.
Hegseth antara calon Kabinet yang begitu dipertahankan Trump. Analoginya, jika Hegseth tidak banyak membuat kerja rumah mengenai Asia Tenggara, maka sudah pasti itulah pendirian Trump dalam hal berkait pentadbiran Rumah Putih.
Trump sering menyebut Mexico, Kanada, China dan Kesatuan Eropah (EU) sebagai negara akan dikenakan tarif tinggi kerana beliau tidak berpuas hati dalam beberapa perkara, termasuk imbangan dagang menyebelahi negara berkenaan.
Pegangan teori ekonomi Trump banyak bersandarkan kepada konsep imbangan dagang di antara AS dan negara terbabit yang banyak menguntungkan Mexico, Kanada, China dan EU.
Ini kerana pada pendapat beliau, AS sebagai kuasa ekonomi terbesar dunia seharusnya memiliki imbangan dagang berlebihan kerana lebih berkuasa.
Sebab itu, Malaysia dilihat berada dalam kedudukan agak tidak selesa pada mata kaca Trump berkait ekonomi.
Ini kerana keadaan ketika ini menyaksikan hubungan dagang banyak menyebelahi Malaysia, sama ada dalam bentuk barangan atau khidmat. Begitu juga hubungan dagang di antara ASEAN dan AS, yang lebih menyebelahi rantau kita.
Cuma yang menjadi pemangkin bagi Malaysia ialah jumlah pelaburan langsung asing (FDI), terutama berkait teknologi tinggi menyebelahi AS berbanding Malaysia atau ASEAN.
Mungkin senario sebegini membuatkan Trump tidak memberi perhatian ketara terhadap rantau ini.
Peroleh sokongan Dewan Senat, Perwakilan

Sebenarnya Malaysia banyak belajar daripada era Trump sebagai presiden penggal pertama. Cuma kali ini Trump boleh melakukan mengikut kehendaknya kerana kedua-dua Dewan Senat dan Perwakilan berada dalam ‘kawalan’ Republikan.
Namun, perseteruan Trump terhadap China tidak baik kepada Malaysia kerana Kuala Lumpur dianggap lebih akrab dengan Beijing berbanding Washington.
Hakikatnya, keadaan sebegitu mampu dimanfaatkan Malaysia jika betul caranya apabila Kuala Lumpur berurusan dengan Trump.
Malaysia apabila berurusan dengan Washington, perlu mempamerkan dengan jelas status sebagai Pengerusi ASEAN kepada pentadbiran Trump.
Ini kerana sebagai pengerusi, Kuala Lumpur mampu mempengaruhi ASEAN terutama sekali menentukan agenda dalam hal berkait perang dagang dan geopolitik AS dan China.
Strategi Anwar mempelawa Trump menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN, terutama sekali pada mesyuarat ASEAN-AS adalah kaedah strategik demi mempamerkan ASEAN begitu penting, bukan sahaja kepada Washington, tetapi juga Beijing.
Apabila Setiausaha Negara, Marco Rubio disahkan jawatan oleh Dewan Senat dengan undi 99 menyokong dan tiada menentang, Rubio boleh dianggap rakan Malaysia dan ASEAN.
Dianggap rakan kerana Rubio, apabila berkait ASEAN, begitu taasub dengan isu hak asasi manusia di Myanmar dan Malaysia pula negara anggota ASEAN paling lantang memperjuangkan isu ini.
Begitu juga pendiriannya dalam hal pertindihan kedaulatan di Laut China Selatan, senada dengan pendirian Kuala Lumpur yang merujuk perundangan antarabangsa seperti Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS).
UNCLOS perlu menjadi asas kepada penyelesaian setiap masalah yang timbul dalam tuntutan bertindih perairan sensitif ini. Dalam hal ehwal Asia Pasifik, Trump begitu mengharapkan Rubio melaksanakan dasar luar AS dan dalam hal ini, ASEAN berada dalam keadaan agak selesa.
Sebab itu dihujahkan sekali lagi, dalam mengharungi era Trump, kita perlu prihatin terhadap janji kempen Presiden AS itu dan membuat andaian beliau akan melunaskan semua janji walaupun pada asasnya begitu sukar untuk dilaksanakan terutama sekali berkait pengusiran pendatang.
Hakikatnya, dalam kalangan Ahli Kabinet Trump, ada yang boleh dimanfaatkan Malaysia, terutama sekali Rubio yang besar kemungkinan akan memberi perhatian lebih teliti berkait Asia Pasifik dalam usaha beliau mengekang pengaruh China.
Sebab itu, tidak sampai 48 jam dilantik ke kabinet Trump, Rubio hadir mesyuarat kerjasama pertahanan digelar Dialog Keselamatan Kuadrilateral (QUAD) dengan menteri luar India, Jepun dan Australia.
Asas penubuhan QUAD adalah mengekang pengaruh China di rantau Asia Pasifik.
Disediakan oleh : Dr. Sr Azmi Hassan, Felo Kanan Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)