Politik Rahmah: Jalan Keluar daripada Polarisasi dan Populisme

Walaupun tahun 2024 telah sebulan melabuhkan tirainya, cabaran ekonomi, politik dan sosial terus menghantui dunia. Kesan daripada dasar presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, serta ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan Timur Eropah, dijangka memberikan impak langsung kepada ekonomi global dan Malaysia. Negara ini akan terus berhadapan dengan cabaran ekonomi, sistem kesihatan, isu alam sekitar serta ketidakpastian politik yang berpanjangan. Namun begitu, bagi saya, di antara semua cabaran ini, ancaman terbesar yang harus segera ditangani ialah polarisasi kaum dan politik populisme yang semakin membarah. Saya memilih untuk menulis mengenai politik populisme dan kesannya kerana saya percaya bahawa politik yang memecahbelahkan rakyat akan melumpuhkan keupayaan negara untuk menangani semua cabaran lain dengan berkesan.

Kita tidak boleh bercakap soal kestabilan ekonomi tanpa kestabilan politik. Ketidakstabilan politik akibat polarisasi kaum dan agama akan menjejaskan keyakinan pelabur, menghalang pelaksanaan dasar yang konsisten, serta mengheret rakyat ke dalam ketidakpastian yang berpanjangan. Begitu juga dengan cabaran sosial seperti kemiskinan dan pendidikan—semuanya memerlukan penyelesaian yang menyeluruh dan merentas kaum serta agama, sesuatu yang mustahil dalam iklim politik yang sarat dengan ketidakpercayaan dan kebencian. Jika politik populisme terus berakar, negara ini bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah-masalah lain, tetapi akan semakin tenggelam dalam kancah perpecahan yang tiada penghujungnya.

Politik Identiti dan Populisme: Ancaman kepada Negara

Dalam beberapa dekad terakhir, dunia telah menyaksikan kebangkitan politik identiti dan populisme yang semakin berakar di banyak negara. Politik identiti digunakan oleh ahli politik untuk menarik sokongan dengan menonjolkan perbezaan berdasarkan kaum, agama, budaya, atau ideologi tertentu, bukannya dengan menawarkan dasar yang menyelesaikan masalah sebenar rakyat. Politik populisme pula mengambil kesempatan dengan mengangkat sentimen rakyat secara emosional, sering kali dengan menjadikan satu kumpulan sebagai ‘musuh bersama’ bagi meraih sokongan.

Trend ini jelas semakin mendapat tempat di banyak bahagian dunia. Di Amerika Syarikat, Trump melalui kempennya “Make America Great Again” membina sokongan politiknya dengan membangkitkan kebencian terhadap pendatang dan memainkan sentimen nasionalisme ekstrem, menyebabkan perpecahan yang semakin mendalam di dalam dan luar negara. Di Eropah, parti-parti sayap kanan menggunakan ketakutan terhadap pendatang Islam dan minoriti lain untuk mendapatkan kuasa, menjadikan politik mereka semakin eksklusif dan anti-multikulturalisme. Di India, kepimpinan Narendra Modi mengangkat nasionalisme Hindu sebagai strategi utama, yang akhirnya meningkatkan ketegangan antara kaum dan agama.

Malaysia seharusnya tidak terikut-ikut dengan trend politik dunia ini. Sebagai negara yang kaya dengan kepelbagaian etnik dan agama, politik identiti hanya akan membawa kepada perpecahan yang sukar diperbaiki. Jika politik Malaysia terus membiarkan sentimen perkauman dan keagamaan dimanipulasi untuk meraih sokongan, kita bakal menyaksikan kesan buruk dalam jangka panjang. Laporan Social Media Monitoring of Malaysia’s 15th General Election mendapati bahawa polarisasi politik di Malaysia semakin meruncing akibat penyebaran retorik kebencian di media sosial yang berpaksikan isu kaum, agama, dan institusi diraja (3R). Pemimpin politik dan penyokong mereka secara aktif menggunakan media sosial untuk memanipulasi sentimen rakyat, dengan banyak naratif yang memecahbelahkan menjadi wacana utama dalam Pilihan Raya Umum ke-15. Keadaan ini menunjukkan bahawa politik populisme bukan sahaja sedang berakar dalam sistem politik negara, tetapi juga telah menular ke dalam wacana digital, menjadikannya lebih sukar untuk dihentikan.

Politik Rahmah: Penyelesaian kepada Polarisasi dan Populisme

Dalam menghadapi cabaran politik populisme yang semakin meruncing, politik Rahmah harus dijadikan alternatif yang menyelamatkan negara daripada perpecahan dan ketidakstabilan. Politik Rahmah ialah politik yang berlandaskan kasih sayang, keadilan, belas kasihan, dan kebersamaan dalam mentadbir negara. Ia berbeza dengan politik populisme yang mengeksploitasi ketakutan dan perpecahan untuk meraih kuasa.

Pendekatan ini bukan sesuatu yang asing. Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa perpaduan dan kestabilan masyarakat hanya dapat dicapai melalui politik yang mengutamakan nilai-nilai Rahmah. Dalam Piagam Madinah, baginda membentuk sebuah negara yang tidak berasaskan kaum atau agama semata-mata, tetapi bertunjangkan keadilan bagi semua. Kerajaan Islam pada zaman Zaman Keemasan Islam juga menunjukkan bagaimana masyarakat pelbagai latar belakang boleh hidup bersama dalam harmoni apabila politik yang diamalkan berteraskan prinsip inklusif dan kasih sayang.

Dalam konteks Malaysia, politik Rahmah bermakna menolak eksploitasi isu kaum dan agama dalam berpolitik serta menggantikannya dengan pendekatan yang mengutamakan perpaduan nasional dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan. Pemimpin politik harus menunjukkan kepimpinan yang matang dengan membina dasar yang inklusif, menggalakkan dialog yang sihat antara kaum dan agama, serta mengutamakan kepentingan negara lebih daripada kepentingan politik peribadi atau parti.

Di samping itu, media dan pendidikan harus memainkan peranan penting dalam membentuk pemikiran masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan naratif populisme yang memecahbelahkan. Media sosial yang kini menjadi alat utama politik populisme harus dikawal agar tidak terus menjadi medan penyebaran kebencian. Sistem pendidikan pula harus mempersiapkan generasi muda dengan pemahaman yang mendalam tentang nilai perpaduan, toleransi, dan hormat-menghormati dalam masyarakat majmuk.

Masa Depan Malaysia: Memilih Politik Rahmah atau Menghadapi Kehancuran?

Tahun 2025 adalah titik perubahan bagi Malaysia. Jika kita terus membiarkan politik identiti dan populisme menguasai wacana negara, kita hanya akan menyaksikan perpecahan yang semakin meluas dan mendalam. Sebaliknya, jika pemimpin kita berani membawa perubahan dengan mengangkat politik Rahmah sebagai teras pemerintahan, kita boleh membina Malaysia yang lebih harmoni, stabil, dan maju.

Dalam banyak peradaban besar, mereka yang memilih jalan politik yang menanam kebencian dan perpecahan akhirnya menyaksikan kemusnahan negara mereka sendiri. Sejarah membuktikan bahawa negara yang berjaya bukanlah negara yang menekan satu kaum ke atas kaum lain, tetapi negara yang membina persamaan dan menjadikan perbezaan sebagai kekuatan.

Soalnya, apakah pemimpin kita mahu dikenang sebagai penyatu rakyat atau sebagai pencetus perpecahan? Masa depan negara bergantung kepada pilihan yang mereka buat hari ini.

Penulisan oleh : Dr. Hasbullah Ashari, Pengarah Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)