PRK Mahkota : Indikator Penting Masa Depan Kerajaan Perpaduan di Johor

PRK Mahkota yang diadakan pada 28 September yang lalu menyaksikan kemenangan besar Barisan Nasional (BN), dengan mendapat undi sebanyak 27,995 berbanding Perikatan Nasional (PN) sebanyak 7,347 undi, menjadikan kemenangan bergaya dengan majoriti melebih 20,000.

Analisis Keputusan PRK

Sekilas pandang, keputusan PRK ini adalah hampir 100% sama dengan keputusan PRN15 yang lalu, dengan dicampurkan undi BN dan PH, juga dengan kadar keluar mengundi yang hampir sama. PN juga mendapat undi yang lebih kurang sama sewaktu PRN15.

Jika dibandingkan pula dengan anggaran undi PRU15 Parlimen di DUN Mahkota, terdapat pengurangan undi yang ketara bagi undi PH sekitar 7,700 dan undi PN sekitar 6,400.

Apa yang berlaku pada PRN kali ini, untuk peratusan keluar mengundi, dianggarkan seramai 60% atau 19,794 orang Melayu pengundi biasa yang keluar mengundi, 45% atau 10,294 pengundi Cina, 10% atau 506 pengundi India dan 87% atau 4,748 pengundi awal keluar mengundi.

Bagi yang keluar mengundi, daripada kalangan pengundi Melayu, hampir 70% menyokong calon BN sebanyak 13,772 pengundi. Sementara bagi pengundi Cina dan India yang keluar mengundi pula, masing-masing adalah hampir seratus peratus mengundi BN.

Kebolehpindahan Undi Berbanding PRN 6 Negeri

Dengan andaian undi PH kekal 100% undi kerajaan Perpaduan, kebolehpindahan undi BN (BN Vote Transferability) kepada kerajaan Perpaduan adalah tertinggi di Kelantan dan Terengganu, masing-masing sebanyak 81.4% dan 82.3%, sementara paling rendah adalah di Kedah iaitu sebanyak 36.3%. Kebolehpindahan undi BN di Pulau Pinang ialah sebanyak 46.8%, di Selangor sebanyak 50.5% dan di Negeri Sembilan sebanyak 54.8%.

Pengiraan kebolehpindahan ini tidak mengambil kira faktor perbezaan parti di peringkat Parlimen dan DUN, dan juga perbezaan calon. Namun begitu, secara purata di semua 6 negeri yang berlaku PRN, di kerusi-kerusi yang ditandingi UMNO, kebolehpindahan undi BN adalah menghampiri 70%, dan mungkin boleh mencecah 80% jika kebolehpindahan undi PH adalah sebenarnya tidak 100%.

Dengan ini boleh dikatakan, 8 daripada 10 orang pengundi BN di Parlimen kekal mengundi BN di DUN di pantai timur, dan 2 lagi pengundi BN telah beralih ke PN. Sementara di utara pula, hanya sekitar 4 daripada 10 orang pengundi BN di Parlimen kekal mengundi BN, sementara 6 lagi pengundi beralih ke PN.

Potensi Undi PRN Johor jika dibuat bersama PRU

Perbezaan kadar keluar mengundi yang ketara antara PRN dan PRU memberi impak yang besar kepada jumlah undi yang diperolehi, terutamanya kepada Pakatan Harapan, kerana rendahnya kadar keluar mengundi dalam kalangan pengundi tegar PH dari kalangan kaum Cina dan India, berbanding pengundi Melayu, seperti yang berlaku pada PRN 2022 yang lalu hingga menyebabkan PH kehilangan 24 kerusi.

Namun jika PRN DUN diadakan bersama dengan PRU Parlimen, peratusan keluar mengundi semua kaum akan melonjak naik lebih tinggi, tidak kira tua ataupun muda, menjadikan undi yang diperolehi lebih mewakili suara rakyat.

Kekalkah Kerajaan Perpaduan PRU16

Berdasarkan keputusan PRK Mahkota ini, secara umum, boleh dikatakan kebolehpindahan undi BN dan PH adalah hampir 100%, dan jika kadar ini diterjemahkan ke peringkat Pilihanraya Negeri Johor kelak, kerajaan sedia ada mampu untuk menang besar dengan 55 kerusi. Begitu juga PRU di peringkat parlimen, Johor akan menyumbang seluruh 26 kerusi Parlimen kepada kerajaan Perpaduan.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, kerjasama ini akan menjamin kejayaan bukan sahaja dalam pilihanraya, malah mengangkat negara menjadi lebih hebat. Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi juga bersetuju dan menambah, kerajaan Perpaduan ini mampu menang besar jika kerjasama PH-BN ini terus diperbaiki. BN secara keseluruhan akan lebih kuat apabila bersama kerajaan Perpaduan, dan agak sukar bagi pengundi BN yang telah beralih undi kepada PN untuk kembali mengundi BN.

Kemenangan besar PRK Mahkota dan Nenggiri tidak sepatutnya mengelabui mata BN untuk merasakan mereka makin kuat bersendirian. Namun persoalannya di sini, adakah kerajaan Perpaduan ini akan bersambung hayatnya ketika PRU 16 tahun 2027 nanti? Adakah BN sanggup menggadaikan kerajaan Perpaduan demi mengekalkan kerajaan solo BN di Johor, atau bersama-sama membangunkan negara yang lebih mapan bersama PH dalam kerajaan Perpaduan?

Disediakan oleh:
Azlan Musyabri bin Abdul Mutallib
Penganalisis Data Nusantara Academy for Strategic Research