Empat negeri, iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu, telah memperkenalkan gagasan State Government 4 (SG4) yang bertujuan memajukan negeri-negeri pembangkang tersebut. Gagasan ini telah membawa kepada penubuhan SG4 Sdn Bhd (SG4 Group), di mana setiap negeri mempunyai pegangan 25%. Tujuan utama SG4 adalah untuk menjana ekonomi melalui kerjasama dalam industri seperti nadir bumi (REE) dan dolomit serta memfokuskan kepada lima kluster utama: infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan; serta sumber dan pendapatan baharu.
Kemampuan Negeri Pembangkang untuk Berdikari
Penubuhan SG4 merupakan inisiatif pertama oleh keempat-empat negeri di bawah pentadbiran PAS ini. Ia membuka peluang untuk negeri-negeri tersebut berdikari dengan mewujudkan pelan ekonomi sendiri yang berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan pusat. Jika SG4 berjaya, ia boleh menjadi ‘score card’ untuk menunjukkan keupayaan PAS dalam memperkukuh ekonomi negeri, sekaligus memberi peluang kepada rakyat untuk menilai kesediaan PAS untuk ‘melangkah’ ke Putrajaya.
Selangor dan Pulau Pinang, negeri yang mempunyai hasil dan kapasiti ekonomi tinggi, telah membuktikan kemampuan berdikari walaupun di bawah pentadbiran pembangkang pada masa lalu. Persoalannya, adakah SG4 dapat mewujudkan platform pembangunan ekonomi yang berdaya saing dan menguntungkan keempat-empat negeri pembangkang ini?
Realisasi Pelan Pembangunan Ekonomi serta Data Pelaburan
Idea kerjasama SG4 telah disuarakan sebagai aspirasi politik Perikatan Nasional dan kini dilihat sebagai peluang ekonomi. Penubuhan SG4 Sdn Bhd telah diumumkan pada Sidang Kemuncak SG4 pada 2 September 2024, dengan komitmen pelaburan dari beberapa negara, termasuk Korea Selatan dan Jepun. Walau bagaimanapun, butiran terperinci pelaburan tersebut masih belum didedahkan.
SG4 mempunyai potensi besar dalam mengembangkan kluster ekonomi yang dinyatakan, tetapi persoalannya, adakah SG4 akan membentangkan pelan ekonomi bersepadu untuk mencapai wawasan ini? Bilakah data pelaburan dan hasil akan dibentangkan, dan mampukah SG4 menarik pelaburannya sendiri seperti yang diharapkan?
Untuk memastikan keyakinan rakyat, perancangan dan unjuran ekonomi perlu dibentangkan secara telus. Rakyat akan menilai kerajaan berdasarkan pencapaian ekonomi yang nyata, bukan hanya pada idea yang diutarakan.
Cabaran dalam Menyelesaikan Kemelut Kewangan Negeri
Keempat-empat negeri SG4 menghadapi cabaran tadbir urus dan kewangan yang ketara. Masalah air di Kelantan, projek Lapangan Terbang Kulim di Kedah, serta isu pembayaran gaji di Kelantan dan Perlis adalah antara cabaran yang membelenggu negeri-negeri ini. Persoalannya, adakah SG4 akan menjadi platform yang mampu menyelesaikan kemelut kewangan ini? Mampukah SG4 mencetuskan lonjakan ekonomi yang dapat meningkatkan pendapatan negeri?
Kemampuan kerajaan negeri untuk menarik pelaburan, mengurus hasil secara efisien, dan menyediakan peluang pekerjaan serta perniagaan akan teruji melalui SG4. Adakah usaha ini mampu merealisasikan peningkatan kualiti hidup rakyat, atau hanya menjadi retorik politik?
Ke Arah Negeri Koridor Utara Berpendapatan Tinggi
SG4 dilihat sebagai peluang untuk negeri-negeri Pantai Timur dan Utara berkembang, terutamanya apabila perindustrian di Pantai Barat mencapai saturasi. Apakah pelan jangka panjang untuk mewujudkan ruang pembangunan yang dapat mengatasi masalah pengangguran dan penghijrahan anak muda ke bandar-bandar besar? Adakah SG4 mempunyai rancangan untuk membangunkan kota perindustrian berimpak tinggi yang mampu menawarkan pekerjaan berpendapatan tinggi?
Mengembalikan Semangat Harimau Asia
SG4 Group telah melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat, langkah strategik untuk menarik pelaburan dari negara-negara seperti Jepun, China, dan Korea Selatan. Pelantikan ini diharap dapat mengembalikan semangat ‘Harimau Asia’ yang pernah dicapai oleh Malaysia di bawah kepimpinan beliau. Adakah kepimpinan Tun Mahathir bersama SG4 akan dapat meneruskan kegemilangan ini?
Kestabilan terhadap Ancaman Pengaruh Politik
Beberapa penganalisis telah mengutarakan kebimbangan mengenai kestabilan SG4 berikutan ketidaktentuan politik semasa. Struktur SG4, yang bergantung kepada kerjasama negeri-negeri pembangkang, mungkin menghadapi risiko jika terdapat perubahan politik pada masa akan datang. Adakah SG4 bersedia menghadapi kemungkinan ini?
Untuk menarik pelaburan, kestabilan dan kebolehan SG4 untuk beroperasi tanpa gangguan politik adalah penting. SG4 perlu dilihat sebagai gagasan kerjasama ekonomi yang teguh dan bebas daripada konflik kenegerian serta pentadbiran.
Harapan terhadap SG4
Persoalan yang dibangkitkan diharap dapat mencetuskan perbincangan yang mendalam dan membawa kepada pelaksanaan yang tuntas. Wawasan ekonomi yang berpotensi ini tidak seharusnya menjadi sekadar perbahasan politik, tetapi perlu disertai dengan perancangan dan pelaksanaan yang menyeluruh demi kesejahteraan ekonomi rakyat.
Disediakan oleh:
Putri Noradyani binti Megat Hashim
Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research-NASR