Bagaimana MoU Dapat Meningkatkan Peranan Pembangkang

MoU: Menguatkan Peranan Pembangkang atau Melemahkan?

MEMORANDUM persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang hangat diperdebatkan. Ini kerana terdapat persoalan yang timbul iaitu tentang adakah ia mengurangkan peluang pembangkang dalam menyuarakan prinsip dan pandangan, serta adakah prinsip hak asasi dan kesaksamaan menyebabkan keistimewaan orang Melayu akan terjejas.

Polemik ini sebenarnya membuka ruang untuk perbincangan yang lebih telus dan mendalam. Klausa dalam MoU ini boleh diperhalusi bagaimana ia berpotensi meningkatkan peranan pembangkang, kerana dalam mencapai kepimpinan dan tadbir urus yang baik serta mengukuhkan semak dan imbang, hakikatnya peranan Ahli Parlimen pembangkang sama penting dengan Ahli Parlimen kerajaan.


Kepimpinan Kompeten dan Berintegriti; Amalan Semua

Dalam Tujuh Prinsip Kehidupan Awam yang disenaraikan dalam Jadual B MoU, sekiranya benar-benar dihayati oleh Ahli Parlimen, ia akan membawa kepada kepimpinan yang berkualiti dan beramanah. Tujuh prinsip adalah seperti berikut:

  1. Tidak mementingkan diri dan bertindak semata-mata demi kepentingan awam
  2. Integriti iaitu mengelakkan diri daripada dipengaruhi secara tidak wajar, tidak membuat keputusan untuk kepentingan peribadi, dan mendedahkan sebarang hubungan atau kepentingan yang berkaitan.
  3. Objektiviti iaitu membuat keputusan secara adil, berdasarkan merit dan tanpa diskriminasi
  4. Akauntabiliti iaitu bertanggungjawab dengan tindakan serta bersedia dengan pemantauan
  5. Keterbukaan dalam membuat keputusan secara terbuka dan telus
  6. Kejujuran
  7. Kepimpinan dengan menunjukkan dan menyokong prinsip-prinsip yang tersebut dalam kehidupan

Antara yang menjadi pertikaian Ahli Parlimen pembangkang adalah keperluan untuk mereka mengemukakan Pengisytiharan Harta dalam Klausa 2.1(e). Dasar pengisytiharan harta khususnya di kalangan ahli kabinet dan Ahli Parlimen merupakan agenda utama yang diangkat oleh Perdana Menteri serta Kerajaan Perpaduan sejak awal mereka mengambil alih pentadbiran pada tahun 2022. Ini membuktikan Kerajaan komited untuk menggalakkan setiap Ahli Parlimen mengamalkan ketelusan serta mengelakkan mereka daripada terlibat dalam konflik kepentingan. Pengisytiharan harta ini juga akan meneguhkan keyakinan rakyat terhadap pemimpin yang mewakili mereka.

Prinsip politik yang matang menjadi salah satu ciri pemimpin yang kompeten dan berintegriti. Ini dinyatakan dalam klausa 2.1(i) dan 2.1(j) yang mana Ahli Parlimen perlu bersetuju untuk menolak amalan politik kebencian. Ini bukan bermakna Ahli Parlimen pembangkang tidak boleh mengkritik tetapi kritikan dan perbahasan perlu dilakukan secara beretika. Mereka mesti menggunakan hujah-hujah yang benar dan berasas, tidak mengamalkan sebarang hasutan, propaganda dan maklumat palsu, serta tidak memprovokasi ketegangan dalam meraih sokongan.

Sumbangan dalam Penambahbaikan Tadbir Urus

Benarkah memorandum persefahaman ini akan memandulkan peranan pembangkang? Klausa 3.1 menyatakan Ahli Parlimen Pembangkang berperanan besar sebagai pemantau dalam memastikan Kerajaan mengamalkan ketelusan dan akauntabiliti bagi setiap dasar dan tindakan. Ini bermakna pembangkang terlibat dalam memastikan Kerajaan mengendalikan tadbir urus dengan cekap dan amanah bersesuaian denga prinsip demokrasi berparlimen.

Klausa 3.1(a) pula menyatakan hak dan keistimewaan pembangkang dalam keterlibatan membahas dan meminda usul dan rang undang-undang. Keterlibatan yang saksama ini akan menjurus kepada pentadbiran yang sentiasa lebih baik. Begitu juga peruntukan serta akses kepada sumber pentadbiran dan kewangan yang dinyatakan dalam klausa 3.1(b) di mana dengan segala peruntukan tersebut, Ahli Parlimen boleh menyalurkan kepada rakyat di kawasan mereka seterusnya memperkasakan perkhidmatan mereka. Justeru, kedua-dua peruntukan hak perbahasan dan kewangan ini bukan melemahkan bahkan menguatkan peranan Ahli Parlimen pembangkang.

Apa yang menarik dalam memorandum ini adalah klausa 4.1 yang menyatakan bahawa kandungan dan intipati MoU boleh didedahkan sepenuhnya kepada umum. Ini adalah langkah signifikan dalam memastikan keterbukaan dalam pentadbiran. Ini memperkuatkan lagi konsep tadbir urus yang baik di mana tiada ruang untuk kerahsiaan yang tidak perlu. Keupayaan rakyat untuk mengakses maklumat ini membolehkan pemantauan tindakan Kerajaan dan Ahli Parlimen dengan lebih berkesan.

Memastikan Keberkesanan Semak dan Imbang

Sistem semak dan imbang dalam sebuah demokrasi adalah asas untuk mengekalkan ketelusan dan akauntabiliti pentadbiran kerajaan. Peranan Ahli Parlimen pembangkang amat penting dalam menegur dan mengkritik serta memberi cadangan bagi memastikan kualiti pentadbiran sentiasa dalam peningkatan dan penambahbaikan.

Klausa 2.1(b) menyatakan bahawa ahli Parlimen pembangkang perlu bertindak aktif dan membina dalam memastikan Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap Parlimen. Peranan ini melibatkan pemerhatian yang kritis terhadap setiap tindakan, dengan fokus untuk mengelakkan salah guna kuasa dan memastikan ketelusan dalam proses membuat keputusan dan dasar kerajaan.

Selain itu, klausa 2.1(c) menekankan bahawa ahli Parlimen pembangkang bukan sahaja boleh membangkang dasar kerajaan, malah mampu menyediakan cadangan balas yang lebih baik. Ini bermakna, pembangkang bukan sahaja bertindak sebagai pengkritik tetapi juga menyediakan alternatif politik yang kredibel sebagai pilihan untuk rakyat. Dengan cara ini, mereka membantu mencipta sistem pentadbiran yang lebih dinamik, yang memberi peluang kepada semua pihak untuk menyuarakan pendapat yang berbeza demi kebaikan negara.


Prinsip kebebasan dan kesaksamaan dalam MoU

Memorandum ini telah menimbulkan perdebatan di kalangan ahli Parlimen pembangkang di mana kebanyakan kritikan adalah pada klausa 2.1(g) dan 2.1(h). Pembangkang rata-rata tidak bersetuju dengan penyataan yang membabitkan kesaksamaan, kebebasan asasi serta mempromosikan penghormatan terhadap hak asasi tanpa mengira bangsa, agama, budaya dan bahasa. Mereka bimbang elemen kebebasan dan kesaksamaan tersebut akan menghakis hak-hak keistimewaan orang Melayu. Pembangkang juga bimbang dengan agenda mempromosikan budaya dan pemikiran yang bertentangan dengan norma masyarakat khususnya Melayu Islam.

Namum begitu, jika merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan seperti yang turut disebut dalam klausa yang sama, dalam Perlembagaan sendiri telah melindungi keistimewaan Melayu, bumiputera serta Agama Islam. Tiada mana-mana pihak termasuk ahli Parlimen yang boleh mempertikaikan perkara tersebut. Perkara tersebut juga telah termaktub di bawah kuasa Raja-Raja Melayu yang melindungi. Penolakan hak dan keistimewaan yang diperuntukkan bermakna melanggar apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Maka ahli Parlimen PAS serta Bersatu tidak seharusnya bimbang kerana apapun bentuk rang serta dasar negara yang akan dibentangkan tidak akan lari daripada batas Perlembagaan Negara.

Sebagai Ahli Parlimen pembangkang yang kompeten dan matang juga, peluang harus diambil memandangkan memorandum yang masih berbentuk draf dan di peringkat perbincangan. Pembangkang boleh mengemukakan cadangan tentang di mana MoU tersebut perlu diperincikan dan diperbaiki. Ahli Parlimen pembangkang juga boleh mengemukakan klausa atau memorandum alternatif mereka sendiri yang lebih baik yang mampu memperkukuhkan peranan mereka dalam pentadbiran negara.

Galakan terhadap Wacana yang Membina

Secara keseluruhan, klausa-klausa dalam Memorandum Persefahaman ini bermanfaat dalam memperkasakan sumbangan ahli Parlimen pembangkang dari segi menggalakkan:

  1. kepimpinan yang berintegriti
  2. memperkuatkan sistem semak dan imbang
  3. mempromosikan tadbir urus yang baik.

Oleh kerana memorandum masih bersifat draf dan terdapat peluang untuk perbincangan dan kritikan membina, ia tidak seharusnya dijadikan alasan yang boleh mencairkan peranan pembangkang malah tidak perlu dijadikan polemik yang menyemai hasutan. Wacana yang bersifat objektif dan kritis adalah perlu bagi menjamin pada akhirnya semua pihak sama ada kerajaan mahupun pembangkang berupaya menyediakan khidmat yang terbaik untuk rakyat dan negara.

Disediakan oleh : Putri Noradyani binti Megat Hashim
(Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research)