Sukan Dalam Membentuk Perpaduan Negara

Penglibatan atlet dalam sukan bukan sahaja menyemarakkan semangat kesukanan dan mengasah bakat tempatan, bahkan melahirkan kesatuan perpaduan yang utuh. Penghasilan artikel pendek ini akan membincangkan bagaimana sukan badminton, bola sepak, hoki dan terjun membentuk perpaduan di Malaysia.

Sukan Badminton

Penglibatan atlet sukan badminton telah bermula sejak dahulu lagi seiring mendapat perhatian lapisan masyarakat sehingga kini. Permulaan sukan badminton bermula di era lagenda iaitu Wong Peng Soon dan Eddy Choong yang merupakan pemain terbaik dunia dan diteruskan pada era Sidek bersaudara seperti Razif dan Jalani memberikan kejayaan cemerlang dengan menyumbang pingat gangsa dalam acara beregu lelaki badminton di Sukan Olimpik Barcelona 1992. Kemunculan Dato Lee Chong Wei merupakan ikon badminton Malaysia kerana antara pemain badminton paling dihormati dan konsisten di dunia. Walaupun Lee Chong Wei tidak berjaya memenangni pingat emas di sukan Olimpik tetapi beliau telah memenangi pelbagai kejohanan berprestij antarabangsa seperti All England dan BWF Super Series. Selain itu, pemain badminton wanita Malaysia iaitu Wong Mew Choo, Goh Liu Ying, Thinaah Muralitharan, Pearly Tan dan Siti Nurshuhaini juga cemerlang dengan mencipta kejayaan di kejohanan dunia. Perkembangan sukan badminton Malaysia tidak terhenti di sini. Kemunculan pemain badminton generasi baru seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Aidil Sholeh telah memberikan prestasi cemerlang. Ini sekali gus menunjukkan atlet sukan badminton terdiri daripada pelbagai kaum tidak kira lelaki mahupun perempuan.

Sukan Bola Sepak

Pasukan bola sepak Malaysia sentiasa mendapat perhatian masyarakat sejak dahulu lagi dengan menampilkan pemain daripada pelbagai kaum. Pemain sukan bola sepak seperti Safiq Rahim, Brendan Gan, Kunanlan Subramaniam dan Matthew Davies antara pemain dari pelbagai latar belakang kaum yang bermain bersama untuk mewakili negara. Selain itu, pemain bola sepak Malaysia diangkat sebagai ikon bola sepak Malaysia dan simbol muafakat perpaduan seperti Safee Sali, Brendan Gan dan Khairul Fahmi Che Mat. Bukan itu sahaja, mesej yang disampaikan oleh pemain Malaysia ini dapat mengukuhkan perpaduan kaum di mana pelbagai latar belakang masyarakat duduk bersama di kedai mamak mahupun di stadium berkongsi kegembiraan, kekecewaan dan bersorak.

Sukan Hoki

Jika sukan bola sepak dan badminton menunjukkan perpaduan atlet lelaki berbilang bangsa, sukan hoki turut mempamerkan atlet lelaki dengan aksi cemerlang dibeberapa kejohanan sukan dunia seperti Kejohanan Hoki Asia. Kejayaan pasukan hoki Malaysia di Sukan Asia 2018 di Indonesia telah berjaya meraih pingat perak yang memberikan kesan kepada rakyat Malaysia dari pelbagai kaum meraikan kejayaan ini. Pemain hoki Malaysia iaitu Kumar Subramaniam, Faizal Saari, Azlan Misron dan Chua Boon Huat telah memberikan prestasi cemerlang sehingga mengangkat nama Malaysia ke Kejohanan Hoki Piala Dunia. Namun begitu, pasukan hoki Malaysia berjaya merangkul pingat emas di Sukan SEA 2017 bagi kategori lelaki dan wanita. Kejayaan ini telah menunjukkan rakyat Malaysia bersatu padu memberikan sokongan tanpa mengira kaum sama ada di media sosial mahupun di stadium.

Sukan Terjun

Pencapaian gemilang atlet sukan terjun di pertandingan antarabangsa seperti Kejohanan Akuatik Dunia dan Olimpik telah meningkatkan sokongan masyarakat pelbagai kaum. Atlet sukan terjun yang diterajui oleh Dato Pandalela Rinong, merupakan atlet kebangsaan Malaysia yang telah mencipta kejayaan cemerlang seperti memenangi pingat gangsa dalam acara terjun 10 meter platform di Olimpik London 2012 dan pingat perak 10 meter synchro di Rio de Janeiro 2016 bersama Cheong Jun Hoong. Dato Pandalela Rinong adalah seorang atlet terjun dari Sarawak yang sering kali berkongsi kisah inspirasi bagaimana beliau bangkit dari sebuah komuniti kecil di Sarawak. Selain itu, atlet terjun juga mempunyai penerjun cemerlang seperti Nur Dhabitah Sabri, Cheong Jun Hoong, Ahmad Amsyar Azman, Ooi Tze Liang dan Bertrand Rhodict Lises yang sentiasa komited memberikan persembahan yang terbaik walaupun menerima cabaran yang kuat daripada negara lain. Contohnya, Nur Dhabitah Sabri dan Leong Mun Yee berjaya merangkul pingat gangsa bagi acara 10 meter synchro wanita dan 3 meter papan anjal synchro wanita. Penglibatan atlet sukan terjun daripada pelbagai latar belakang masyarakat mahupun lelaki dan perempuan dapat membentuk perpaduan dan memperkukuhkan hubungan antara kaum.

Harapan Sukan-sukan ini telah membuktikan bahawa atlet-atlet kita dari pelbagai kaum mampu bersaing dan berjaya diperingkat dunia. Mereka telah berjaya mengharumkan nama Malaysia di mata dunia. Masyarakat kita pula menyambut kejayaan ini dari perspektif pelbagai kaum, bahawa kita mampu berjaya sebagai satu bangsa Malaysia yang disertai di serata dunia. Sukan telah membuktikan ianya dapat menyatukan pelbagai kaum dalam negara kita. Jadikanlah sukan sebagai sumber perpaduan kaum di negara ini.

Disediakan Oleh: Nur Aiman Kamarul Ariffin
(Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research)