Boikot. Bukan lagi satu perkataan asing dalam kalangan rakyat Malaysia. Tanpa mengira kaum, agama dan taraf hidup, boikot seringkali dilakukan terhadap produk, perkhidmatan, syarikat atau negara yang menganggu sensitiviti rakyat Malaysia. Boikot seringkali ditunjukkan melalui demonstrasi dan penolakan secara kolektif untuk membeli atau menggunakan produk tertentu sebagai bentuk protes. Boikot merupakan salah satu cara terbaik suara negara kecil seperti Malaysia didengari oleh negara-negara besar yang berkuasa di dunia. Namun begitu, adakah boikot akan membentuk identiti masyarakat pada hari ini? Apakah kesannya kepada ekonomi?
Salah satu boikot yang paling terkenal dan terbesar di Malaysia adalah boikot terhadap produk atau jenama yang mempunyai kaitan dengan Israel. Konflik antara Palestin dan Israel telah berlangsung selama beberapa dekad, dengan pertikaian tanah, hak asasi manusia, dan ketegangan politik yang menjadi isu-isu utama. Kekerasan dan pergolakan berterusan antara kedua-dua pihak telah menimbulkan keprihatinan di seluruh dunia, termasuk Malaysia.
Gerakan boikot terhadap Israel telah bermula sejak 1945, yang mana satu resolusi khas bertajuk ‘The Boycott of Zionist Goods and Products’ telah dibentuk oleh negara Arab. Walaupun resolusi ini melemahkan ekonomi Israel ketika itu, keganasan Israel masih berterusan sehingga hari ini dengan kekuatan ekonomi Israel yang semakin kukuh. Beberapa kumpulan masyarakat dan pertubuhan di Malaysia turut mempromosikan untuk tidak membeli produk-produk yang dihasilkan oleh syarikat Israel dan produk yang berkait dengan Israel bagi membantu melumpuhkan ekonomi Israel. Kerajaan Malaysia juga telah mengambil beberapa langkah dalam menyokong gerakan tersebut termasuklah penyelarasan dasar luar negara, sekatan perdagangan terhadap produk Israel dan mengadakan solidariti di kebanyakan kawasan sebagai tindak balas terhadap konflik Palestin-Israel.

Terkini, boikot dijalankan terhadap rangkaian perniagaan pasaraya kerana telah mengganggu sensitiviti orang Islam. Hakikatnya, beberapa tahun yang lalu telah berlaku perkara yang sama terhadap rangkaian perniagaan yang berbeza. Namun begitu, boikot pada ketika itu tidak terlalu ekstrem seperti masa kini. Jadi, adakah disebabkan semangat boikot terhadap Israel membawa kepada galakan rakyat Malaysia untuk bersikap aktif memboikot jika terdapat isu-isu yang berbangkit? Adakah masyarakat akan meneruskan semangat patriotik dan terus memboikot jika perniagaan ini menukar jenama mereka?
Kesan Boikot
Boikot boleh menjadi alat yang berkuasa untuk perubahan sosial, menekan sesebuah negara atau syarikat untuk mengubahsuai amalan mereka mengenai isu seperti hak kemanusiaan, kelestarian alam sekitar atau kekuasaan politik. Kesan boikot terhadap ekonomi negara bergantung kepada beberapa faktor, termasuk kedudukan ekonomi negara, strategi boikot, tempoh boikot, dan tahap sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap boikot tersebut.
Apabila boikot dijalankan terhadap sesuatu jenama, pengguna akan mencari alternatif barang pengganti. Barang pengganti kebiasaannya produk yang dikeluarkan oleh pesaing jenama yang diboikot. Boikot terhadap produk luar akan memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk mendapatkan untung daripada permintaan pengguna yang beralih. Boikot yang berjaya boleh mewujudkan ruang untuk pesaing yang lebih sejajar dengan nilai pengguna, memupuk inovasi dan berpotensi membawa kepada pasaran yang lebih beretika.
Menyingkap kembali sejarah kempen boikot Malaysia yang berjaya menggugat kuasa British pada tahun 1981 melalui pengenalan dasar ‘Buy British last’ atau Beli Barangan British Akhir”. Kerajaan Malaysia pada ketika itu di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengeluarkan senarai barangan pengganti kepada produk British, bertujuan memudahkan orang ramai menjadikan pembelian produk British sebagai pilihan terakhir. Boikot yang dilaksanakan juga telah menjadikan Britain terpaksa bersaing dengan pelabur negara lain untuk mendapatkan tender dan projek ketika itu. Ketegangan tersebut yang berpunca dari Serangan Subuh 1981 (Dawn Raid 1981) oleh Malaysia ke atas Syarikat Guthrie dan kenaikan yuran pendidikan 3 kali ganda untuk rakyat Malaysia di Britain.
Boikot tersebut telah menjejaskan kepentingan ekonomi British di Malaysia, yang mana Britain kerugian kira-kira RM170 juta dalam tempoh 18 bulan dan resolusi yang memberi kemenangan kepada Malaysia. Malaysia juga mendapat banyak faedah untuk untuk rakyat dan keuntungan terhadap kepentingan negara. Boikot tersebut juga telah membuka mata negara-negara maju terhadap keberanian Malaysia mempertahankan kepentingan strategik negara dan menjadikan Malaysia lebih dihormati.

Namun begitu, boikot juga memberikan kesan negatif kepada beberapa aspek. Dari perspektif ekonomi negara, boikot yang melibatkan produk-produk atau perkhidmatan yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara akan memberi kesan terus ke atas pendapatan negara. Perkara ini disebabkan penjualan dan pendapatan syarikat yang menjadi sasaran boikot akan menurun secara signifikan dan pengurangan cukai negara. Industri yang terlibat dalam boikot juga mengalami kerugian yang besar kerana penurunan permintaan dan pendapatan yang ketara.
Bagi mengurangkan kos akibat penurunan hasil dan kemerosotan prestasi secara berterusan, tenaga kerja terpaksa dikurangkan atau projek pembangunan yang mencipta pekerjaan baru terpaksa ditangguhkan. Kemerosotan kebajikan ribuan pekerja meliputi pengurangan gaji, tekanan kewangan, ketidakpastian pekerjaan sehingga akhirnya menyebabkan peningkatan kadar pengangguran.
Lanjutan dari itu, boikot akan memberi kesan kepada rantaian bekalan dan keyakinan pelabur terhadap ekonomi negara. Ketika wujud ketidakstabilan atau ketidakpastian ekonomi akibat boikot, pelabur mungkin menjadi kurang yakin untuk melabur dalam projek-projek di negara tersebut, yang akan memberi impak terhadap pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
Boikot di Malaysia telah berkesan dalam membawa perubahan dalam lanskap ekonomi dan sosial. Melalui demonstrasi dan penolakan terhadap produk tertentu, masyarakat Malaysia menjadi lebih peka terhadap isu-isu sensitif seperti hak asasi manusia dan keadilan sosial. Walau bagaimanapun, boikot yang dijalankan seharusnya dilaksanakan secara berstrategi terhadap sasaran dan berlandaskan ilmu, bijak dan berhikmah serta memahami gambaran menyeluruh. Keteguhan dalam menerapkan prinsip boikot haruslah konsisten, mencapai matlamat dan memberi impak yang signifikan kepada sasaran tanpa berbelah bahagi. Secara keseluruhan, boikot telah menjadi antara pemain utama dalam mencabar kuasa besar, mendorong perubahan sosial dan etika dalam membentuk landskap ekonomi di Malaysia.
Walaupun boikot menjadi senjata dalam mengekang kezaliman dan kehormatan, jangan biarkan dendam dan kebencian membekukan hati kita. Dalam kita tegar memboikot, jangan sampai menggugat keharmonian etnik dan agama di Malaysia. Sebaliknya, gunakanlah boikot sebagai cara untuk memperjuangkan perubahan yang membawa kedamaian dan keadilan untuk semua.
AAINAA AMIRAH HARON (Pegawai Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research)