Melangkah Ke Hadapan: Penilaian Ekonomi Malaysia Pada 2024

Tahun 2024 menggambarkan ketidakpastian dalam ekonomi global dan persekitaran yang sangat mencabar. Selain faktor struktur ekonomi sesebuah negara, kebimbangan terhadap kemelesetan ekonomi dunia semakin meluas akibat dari konflik perdagangan yang berterusan dan perpecahan geo-ekonomi antara Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan China. Finland dan Ireland telah mengalami kemelesetan ekonomi, diikuti Jepun dan United Kingdom menjelang tahun 2024. Penguncupan ekonomi Jepun, penurunan populasi penduduk, pengurangan permintaan domestik dan kelemahan Yen merupakan antara faktor kemesetan ekonomi Jepun. UK pula mengalami krisis kos sara hidup, peningkatan inflasi dan penurunan dalam perbelanjaan pengguna sebagai pemacu utama ekonomi.

​Malaysia juga tidak terkecuali dari tempias cabaran krisis ekonomi global. Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) di Malaysia turut mencatatkan pertumbuhan sederhana iaitu 3.7 peratus pada 2023 berbanding pertumbuhan 8.7 peratus pada 2022 (Bank Negara Malaysia). Bank Negara Malaysia (BNM) telah melaporkan Ringgit Malaysia didagangkan sekitar RM4.80 pada 26 Februari 2024, iaitu penurunan nilai Ringgit hampir 17 peratus berbanding tahun 2019 dan penurunan sekitar 7 peratus berbanding setahun yang lepas.  

Sumber: Bank Negara Malaysia

Paras terendah tersebut yang direkodkan sejak kemuncak krisis kewangan Asia 1998 menimbulkan persoalan besar mengenai faktor yang menyumbang kepada penurunan nilai Ringgit dan impaknya terhadap ekonomi negara. Nilai tukaran mata wang adalah salah satu indikator penting dalam menilai kestabilan ekonomi suatu negara dan mencerminkan sentimen dalam pasaran tukaran mata wang. Walaupun negara-negara serantau turut mengalami penurunan nilai mata wang, Malaysia perlu mengambil perhatian dalam isu ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan terbuka yang akan terkesan dari krisis rakan perdagangan negara terutama Amerika Syarikat (US) dan China.

Tinjauan terhadap dua ekonomi besar dunia, US dan China menunjukkan ketidakpastian dalam ekonomi global. Ekonomi China dijangka perlahan bagi tahun 2024, dengan kelemahan pasaran hartanah, permintaan tempatan dan luaran serta pengangguran belia yang tinggi secara amnya disebut sebagai punca utama. Yuan china dijangka berterusan lembab dan US pula telah meningkatkan kadar faedah secara berperingkat dari 0.25 peratus (Mac 2022) ke 5.5 peratus (Julai 2023), manakala kadar inflasi 3.1 peratus iaitu lebih tinggi daripada ramalan (2.9 peratus) pada Januari 2024.

Selain faktor luaran, punca kelemahan mata wang juga bergantung kepada faktor domestik. Mata wang yang rendah menjadikan import lebih mahal dan menyumbang kepada defisit perdagangan negara. Jika keadaan ini berterusan jangka panjang, fenomena ekonomi ini akan mempengaruhi pelbagai sektor dan menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat serta pelabur. UNCTAD melaporkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) bagi negara sedang membangun jatuh 9 peratus pada tahun 2023, rentetan dari pelaburan yang lemah dan ketidaktentuan ekonomi. Aliran FDI bagi negara ASEAN juga menurun 16%. Bagi Malaysia pula, FDI meningkat daripada RM7.2 bilion kepada RM17.1 bilion pada suku keempat 2023, didorong oleh aliran masuk bersih yang lebih tinggi dalam ekuiti dan instrumen hutang. Sektor Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama FDI, khususnya dalam subsektor kesihatan, maklumat & komunikasi diikuti oleh pembuatan. Sumber FDI utama adalah dari Singapura, Hong Kong dan Jepun.

Walau bagaimanapun, FDI Malaysia secara keseluruhan bagi tahun 2023 merekodkan aliran masuk bersih RM39.5 bilion berbanding RM74.6 bilion pada tahun sebelumnya. Malah, pelaburan di luar negeri (DIA) turut mencatatkan pengurangan RM34.9 bilion pada tahun 2023 berbanding RM58.6 bilion tahun lalu. Keadaan ini sedikit sebanyak menjejaskansentimen pelabur terhadap Malaysia.

Menurut Penganalisis Ekonomi, Prof. Tan Sri Noor Azlan Ghazali, Malaysia perlu segera bertindak bagi memulihkan keyakinan pelabur antarabangsa dan mesti menjadi antara destinasi pelaburan global yang berkualiti. Kerajaan perlu peka dan bertindak cekap dalam perubahan ekonomi atau isu global semasa kerana akan memberi persepsi berbeza terhadap kestabilan ekonomi dan keyakinan pelabur ke atas pentadbiran negara. Di sinilah pentingnya kecekapan kerajaan dalam merangka dasar dan strategi pembangunan ekonomi yang akan meningkatkan keyakinan kepada pelabur dan meningkatkan aliran pelaburan masuk.

Dasar Monetori dan Dasar Fiskal

Dasar monetori dan dasar fiskal merupakan dua instrumen penting dalam membentuk dasar untuk mengawal ekonomi negara. Dasar monetori merangkumi tindakan yang diambil oleh BNM untuk mengawal kestabilan kadar faedah dan bekalan wang bagi mencapai pertumbuhan ekonomi mampan. Kadar pertukaran mata wang merupakan salah satu pertimbangan utama bagi kebanyakan bank pusat apabila menetapkan dasar monetari. BNM telah meningkatkan Overnight Policy Rate (OPR) dari 2.75 peratus ke 3 peratus pada Mei 2023. Peningkatan OPR lazimnya mempengaruhi kadar faedah dalam ekonomi, perubahan tahap harga secara keseluruhan, dan memberikan kesan kepada kegiatan ekonomi seperti pinjaman dan simpanan.

Sumber : Bank Negara Malaysia

Alat dasar monetori yang lain juga boleh difokuskan seperti keperluan rizab dan bon bagi mengukuhkan ekonomi negara. Dasar fiskal yang merangkumi penggunaan perbelanjaan kerajaan, cukai, hutang awam dan bayaran pindahan juga perlu dikawal. Kerajaan kekal komited dalam mengukuhkan asas hasil dan merapatkan jurang cukai dengan matlamat utama untuk mengutip hasil yang mampan. Bermula 1 Mac 2024, kerajaan melakukan peningkatan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) daripada 6 peratus kepada 8 peratus, sepertimana yang telah dibentangkan semasa Belanjawan 2024. Kenaikan kadar cukai dikenakan ke atas semua perkhidmatan bercukai kecuali:  

  • Perkhidmatan makanan & minuman
  • Perkhidmatan telekomunikasi
  • Perkhidmatan penyediaan ruang letak kereta
  • Perkhidmatan logistik.

Menurut Kementerian Kewangan Malaysia, kutipan cukai tidak langsung dijangka meningkat sebanyak 4.7% kepada RM58.6 bilion pada tahun 2024 terutamanya disumbangkan oleh kutipan yang lebih tinggi daripada SST. Kerajaan juga melaksanakan cukai jualan ke atas barang bernilai rendah (LVG) diimport yang dijual dalam talian, bertujuan memberi kesaksamaan persaingan kepada perniagaan tempatan. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mentakrifkan LVG sebagai semua barangan tidak termasuk rokok, produk tembakau, minuman keras yang memabukkan, rokok elektronik, dan penyediaan sejenis yang digunakan untuk merokok, yang dijual pada harga tidak melebihi RM500 dan dibawa masuk ke Malaysia sama ada melalui jalan darat, laut atau udara. Reformasi percukaian ini sebagai langkah kerajaan memperkukuhkan asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Dasar-dasar yang dirangka perlu selaras dengan perancangan pembangunan ekonomi dan sosioekonomi rakyat. Pembangunan yang dilaksanakan sama ada dari segi pembangunan infrastruktur atau modal insan pasti akan memberi kesan yang positif terhadap ekonomi negara. Kewujudan dasar ekonomi yang menyeluruh dan ditambah dengan kemudahan infrastruktur yang baik serta pekerja berkemahiran, tentunya akan menyebabkan aktiviti ekonomi mampu bergerak dengan rancak. Inisiatif ini dianggap sebagai strategi untuk memantapkan nilai mata wang dan memperkukuh keyakinan pelabur terhadap prospek negara.


Kesimpulan

Dalam usaha mencapai pertumbuhan ekonomi mampan, kerajaan perlu berganding dengan pihak swasta, pemegang taruh, agensi-agensi, IPT, NGO dan rakyat. Malaysia perlu sentiasa mengenal pasti faktor yang dapat menyumbang kepada pengukuhan mata wang ringgit, termasuk keyakinan pelabur terhadap potensi Malaysia, kestabilan politik, serta pentabiran yang berintegriti. Kestabilan politik perlu dikekalkan dan kerajaan harus meletakkan fokus pentadbiran kepada meningkatkan ekonomi, pembangunan dan rakyat.

Untuk merangkai isu dan permasalahan sosio-ekonomi negara, model ekonomi manusiawi yang mencakupi isu kemiskinan dan kesenjangan ekonomi dianggap signifikan dalam membentuk masyarakat inovatif dan memberi manfaat kepada rakyat pada masa hadapan. Panduan bagi model ini berlandaskan enam prinsip dalam konsep MADANI, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan, dan ihsan.

 Selari dengan kerangka ekonomi MADANI, Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 yang bertemakan “Positif, Progresif dan Inovatif” telah dianjurkan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah. KEB 2024 bertujuan menetapkan hala tuju, dasar dan pendekatan baharu dalam memperkuat agenda pemerkasaan Bumiputera melalui penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera. YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan lapan keputusan penting untuk meningkatkan martabat ekonomi Bumiputera. Keputusan penting merangkumi generasi baharu usahawan Bumiputera, Skim Perumahan MADANI, pelatih TVET, Wakaf MARA MADANI, insentif cukai serta menyediakan tabung geran padanan, pembelian cenderahati hasil seni Bumiputera, pembiayaan kredit mikro dan Suruhanjaya Pekerja Gig. KEB 2024 diharapkan akan memberi manfaat kepada keadilan sosioekonomi, kemampanan negara, serta kemakmuran kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.

Seiring itu, kerajaan juga telah mengenalpasti sektor ekonomi yang berpotensi dan sesuai dengan kepakaran serta tenaga kerja yang ada. Beberapa sektor yang berpotensi tinggi seperti teknologi hijau, tenaga boleh diperbaharui, penerbangan dan pelancongan perlu diterokai bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI). Satu usaha yang konkrit perlu juga dilakukan bagi meningkatkan kedatangan pelancong ke Malaysia sebagai destinasi percutian mereka. Selain China, Malaysia juga perlu menarik pelancong dari negara-negara lain melalui kempen pemasaran di peringkat antarabangsa melalui media sosial, portal pelancongan, dan pameran pelancongan.

Industri Halal juga dikenal pasti sebagai antara industri yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara. Industri Halal telah menyumbang 7.9 peratus kepada KDNK, dengan jumlah eksport produk halal sebanyak RM53.72 billion pada tahun 2023. Pelbagai program yang bakal dilaksanakan seperti Malaysia Global Halal Show, Program Home-grown Halal Champion dan program Halal Business Transformation dijangka akan meningkatkan daya saing negara menjelang 2030. Kombinasi peranan kewangan Islam dan status Malaysia sebagai hub halal membentuk satu ekosistem yang menyokong pertumbuhan ekonomi yang beretika, mampan, dan berkembang dalam bidang-bidang yang melibatkan produk dan perkhidmatan halal. Tambahan lagi, Malaysia berperanan sebagai pusat koridor halal yang menghubungkan firma halal di ASEAN melalui CIMB Islamic Bank. Industri halal perlu menggunakan sepenuhnya ekosistem Halal Malaysia untuk meneroka dan mencipta peluang yang lebih besar dalam pasaran halal global.

Keteguhan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan negara luar dan dalam ASEAN merupakan aspek penting untuk mencapai sinergi serantau. ASEAN perlu memanfaatkan geo-ekonomi untuk meningkatkan sosioekonomi negara-negara anggota dengan mendorong kerjasama dan pelaburan intra-ASEAN. Inisiatif ini bukan sahaja memacu perancangan ekonomi mampan, tetapi juga mengukuhkan kedudukan mata wang negara.

Keunikan ekonomi sebuah negara memerlukan dasar yang unik. Dengan kerjasama semua pihak dan kekukuhan sokongan rakyat, Malaysia mampu menangani cabaran mendatang dan mencapai keseimbangan ekonomi jangka panjang yang diidamkan. Sinergi ini, jika diurus secara bijak, akan membentuk landasan kukuh bagi pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan.

 

AAINAA AMIRAH HARON (PEGAWAI PENYELIDIK NUSANTARA ACADEMY FOR STRATEGIC RESEARCH)