Prabowo dan Gibran Di Hadapan, Keputusan Rasmi PEMILU 2024 Masih Dinantikan

Tanggal 14 Februari 2024 menjadi peristiwa penting bagi rakyat Indonesia. Mereka menjadi faktor utama dalam menentukan Presiden dan Wakil Presiden (Timbalan Presiden) yang baharu menerusi Pemilihan Umum 2024 (PEMILU) yang sedang berlangsung di Indonesia. Lebih daripada 205 juta pemilih memenuhi setiap sudut negeri, meningkat berbanding 193 juta pada PEMILU 2019. Tidak kurang daripada 1.7 juta pemilih berada di luar negeri turut menyumbangkan suara dalam pesta demokrasi lima tahun sekali ini.

Menurut portal Komisi Pemilihan Umum, Prabowo dan Gibran sedang mendahului dengan 58.91% sokongan, diikuti oleh Anies dan Muhaimin dengan 24.08%, serta Ganjar dan Mahfud MD dengan hanya 17.01%. Proses pengiraan kertas undi akan berlangsung hingga 20 Mac 2024 yang melibatkan seluruh wilayah Indonesia termasuk 17,517 Kabupaten/Kota, 2,372 Provinsi, 152 Dewan Perwakilan Daerah (DPD), dan 580 Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

Pengumuman rasmi Presiden baharu dijadualkan akan diadakan pada 20 Oktober 2024. Keluasan dan kerencaman demografi Indonesia yang pelbagai memerlukan masa secukupnya untuk melaksanakan proses ini dengan teliti dan sebaiknya. Keunikan proses pilihan raya yang dimiliki oleh Indonesia ini mempunyai cabarannya tersendiri dan perihal ketelusan serta kredibiliti sepanjang proses pilihan raya berlangsung menjadi persoalan pada para pengundi dan pemerhati politik. 

Ini berbeza dengan negara demokratik lain yang kebiasaannya mengumumkan keputusan pilihan raya dalam tempoh 24 jam kerana Indonesia memiliki proses yang lebih kompleks. Suhu politik di Indonesia telah meningkat sejak awal apabila Gibran Rakabuming Raka, anak Joko Widodo, dijadikan sebagai Calon Wakil Presiden meskipun belum mencapai usia 40 tahun selepas Mahkamah Perlembagaan Indonesia memutuskan untuk membenarkannya bertanding dan menjadikannya calon Wakil Presiden termuda dalam sejarah politik Indonesia.

Kedudukan Semasa Pemilihan CAPRES dan CAWAPRES


Dinamik Politik Indonesia

Ketika ini, Prabowo dan Gibran di hadapan dengan lebih daripada 50% sokongan yang diperlukan untuk memenangi pemilihan presiden tanpa perlu memasuki pusingan kedua PEMILU 2024. Pusingan kedua hanya dilakukan apabila calon-calon Presiden yang bertanding masih lagi tidak mendapat jumlah sokongan sebanyak 50% dan cuma akan melibatkan pertandingan di antara calon-calon Presiden yang berada di tangga pertama dan kedua sahaja ketika di pusingan PEMILU yang pertama.  

Mekanisme pilihan raya seumpama ini dilihat mirip dengan pilihan raya presiden di Turki. Melalui kaedah ini, kita boleh menyaksikan sokongan majoriti rakyat dalam konteks memilih presiden di setiap pelosok negara. Sistem ini mengangkat figura di peringkat nasional yang mahu dipilih sebagai Presiden tanpa menafikan keperluan untuk mengetahui sokongan akar umbi di pelbagai peringkat yang dimiliki oleh setiap parti politik khususnya di DPR, Provinsi, Kota, dan Kabupaten. Berdasarkan kiraan undi semasa Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) mempunyai jumlah sokongan teramai di setiap peringkat DPR sedangkan calon Presidennya iaitu Ganjar Pranowo dilihat ketinggalan jauh dalam perhitungan untuk mendapatkan kerusi Presiden menentang Prabowo Subianto dan Anies Baswedan.

PDIP, parti yang digagaskan oleh Ibu Megawati Soekarnoputri, tokoh politik terkemuka Indonesia, berjaya mengumpul sokongan di peringkat DPR walaupun mengalami kegagalan dalam memenangi pemilihan presiden di dalam PEMILU 2024. Parti ini mempunyai peluang menjadi pembangkang terkuat sekiranya Prabowo mengambil pendekatan yang berbeza daripada Jokowi. Sebelum ini, Jokowi mengambil langkah berani dengan melantik Prabowo sebagai Menteri Pertahanan walaupun beliau tewas dalam pilihan raya presiden pada PEMILU 2019. Jika Prabowo bersedia untuk menurunkan suhu politik dan menunjukkan kesungguhan untuk bekerjasama, langkah berani ini perlu dipertimbangkan.

Rajah dibawah adalah kedudukan terkini sokongan parti di peringkat Dewan Pemilihan Rakyat (DPR) Indonesia:

Peluang dan Cabaran Prabowo-Gibran

Gabungan Prabowo dan Gibran menonjolkan ciri unik mereka untuk terus unggul dalam pilihan raya ini dengan kempen yang lebih santai dan bersahaja. Mereka berjaya menarik sokongan generasi muda dan berpotensi besar untuk muncul juara dalam PEMILU 2024. Sinergi antara pengalaman dan kesegaran orang muda adalah kunci strategik bagi kemajuan Indonesia menuju tahun 2045. Berbeza dengan pendekatan Anies dan Muhaimin yang lebih kritikal terhadap polisi kerajaan, gabungan ini menawarkan perspektif yang lebih intelektual dan kritis yang mungkin lebih diterima oleh golongan menengah dan atas sahaja. Sementara itu, Ganjar dan Mahfud pula cenderung untuk meneruskan visi Jokowi dengan penekanan pada ekonomi digital, peluang pekerjaan, dan pelaburan yang lebih baik. Walaupun gabungan ini bertekad untuk meneruskan visi Jokowi, Jokowi sendiri tidak menyokong mereka di dalam PEMILU 2024 ini. 

Bagi Prabowo dan Gibran, peluang besar terbuka untuk mereka memainkan peranan sebagai pemimpin baru Indonesia membawa negara ke arah Indonesia Emas 2045. Dalam kempen dan debat mereka, Gibran menekankan kepentingan kecerdasan buatan (AI) untuk pertumbuhan ekonomi serta peningkatan kemahiran tenaga kerja yang bersifat futuristik. Beliau juga menggariskan peluang Indonesia dalam bidang tenaga boleh baharu (renewable energy) melalui The Comprehensive Investment and Policy Plan (CIPP) for Indonesia Energy Transition Partnership (JETP) yang boleh membawa Indonesia ke tahap kemajuan sejajar dengan negara-negara seperti Sweden, Costa Rica, dan Jerman.

Namun, cabaran utama bagi Prabowo dan Gibran adalah mencari titik keseimbangan antara reformasi yang diinginkan dan meneruskan polisi-polisi yang berkesan ketika era Jokowi. Walaupun Jokowi terkenal dengan pencapaiannya dalam pembangunan infrastruktur dan menyediakan peluang pekerjaan yang luas, Prabowo membawa pengalaman politik yang unik dan menjanjikan pemahaman yang mendalam tentang dinamik politik Indonesia. Prabowo sebagai seorang bekas Jeneral Tentera di zaman kepimpinan Soeharto yang menjadi Wakil Presiden untuk Megawati Soekarnoputri dan bertanding sebanyak 3 kali sebagai calon Presiden pada tahun 2014, 2019 dan 2023 pasti menjanjikan pengalaman berguna buat pentadbiran Indonesia. Selain itu, Prabowo harus mengambil berat soal penerusan generasi muda dalam memimpin Indonesia pada masa akan datang. Hadirnya Gibran boleh membantu dalam mengkoordinasikan generasi muda di dalam pentadbiran kerajaan untuk memberi impak yang strategik dan berkesan. 

Kesimpulannya, masa depan Indonesia amat bergantung kepada Presiden yang akan diisytiharkan kemenangannya kelak. Ianya terkait dengan janji-janji pilihan raya yang akan ditunaikan serta kerjasama politik yang berkesan dalam mewujudkan kestabilan di dalam pentadbiran kerajaan Indonesia seluruhnya. Pelbagai kemungkinan boleh berlaku di bawah pentadbiran yang baru ini. Mimpi buruk bagi Prabowo dan Gibran ialah apabila Anies dan Muhaimin berganding bahu dengan Ganjar dan Mahfud lantas menguasai majoriti kerusi di DPR. Presiden akan menghadapi kesukaran apabila DPR yang dibentuk tidak sealiran dengannya. Ini akan menyulitkan segala bentuk reformasi yang akan dibawa oleh kerajaan pimpinan beliau kelak.

LUTHFI YUSRI (Pegawai Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research)