LAPORAN
Kes Pengampunan Najib: Perspektif Undang-Undang & Politik
Pada 13 Februari 2024, Nusantara Academy for Strategic Research (NASR) telah berjaya melancarkan sebuah medium perbincangan yang diberi nama Wacana Warga (WW) dengan membawa perbincangan pertama yang bertajuk “Wacana Warga 1.0 – Kes Pengampunan Najib: Perspektif Undang-Undang & Politik”. Wacana ini dibarisi oleh ahli panel yang berpengalaman luas dalam bidang undang-undang sivil dan syariah iaitu Professor Madya Dr. Zulfakar bin Ramlee (Pensyarah Undang-Undang UIAM) dan Tuan Marwan bin Abdullah (Peguambela & Peguamcara). Wacana ini juga menampilkan Puan Atriza Umar sebagai moderator yang merupakan salah seorang Felo NASR dan mempunyai pengalaman luas dalam menulis isu-isu berkaitan politik dan sosial di Malaysia. Kes Nik Elin VS Kerajaan Negeri Kelantan juga turut dikupas di dalam perbincangan Wacana Warga 1.0 ini.
Wacana yang dijalankan secara maya menerusi medium utama di Youtube dan Facebook berjaya meraih tontonan sebanyak 2600 orang setakat ini. Pelbagai soalan yang merangkumi isu-isu berkaitan undang-undang iaitu Kes Pengampunan Najib dan Kes Nik Elin yang menimbulkan kegelisahan penonton berjaya dijawab dan dihuraikan secara tuntas oleh kedua-dua ahli panel sepanjang wacana yang berdurasi selama 2 jam pada malam itu. Wacana Warga anjuran NASR ini merupakan satu inisiatif untuk menyediakan medium perbincangan untuk rakyat marhaen di Malaysia mendapatkan penjelasan lanjut isu-isu terkini yang menjadi kegusaran rakyat terbanyak.
“Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Datuk Seri Najib Razak bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram dan memerintahkannya dipenjara 12 tahun dan didenda RM210 juta. Keputusan Mahkamah Tinggi itu kemudiannya dikekalkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 9 Disember 2021.” Kemudian pada 2 Februari 2024, pihak lembaga pengampunan yang diketuai oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 telah memberi Pengurangan hukuman penjara Datuk Seri Najib Razak dengan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun dan bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028 serta denda yang perlu dibayar dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Keputusan lembaga pengampunan ini telah menyebabkan timbulnya pelbagai reaksi daripada rakyat sama ada penyokong atau yang tidak menyokong Datuk Seri Najib Razak. Rata-rata rakyat berasa tidak berpuas hati kerana kesalahan yang dibuat oleh beliau di dalam kes 1MDB ini kerana telah menyebabkan kerajaan Malaysia terpaksa membayar hutang berbillion ringgit yang sepatutnya boleh dielakkan dan dapat disalurkan untuk pembangunan negara. Menurut bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan pada 13 Mac 2023, setakat ini kerajaan sudah membayar jumlah keseluruhan hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebanyak RM43.8 bilion dan baki hutang yang belum dibayar adalah berjumlah RM9.7 bilion, membabitkan prinsipal RM5 bilion dan faedah RM4.7 bilion.
Menurut Prof Madya Dr Zulfakar keputusan pengampunan seharusnya dihormati oleh semua pihak kerana Yang di-Pertuan Agong telah menggunakan kebijaksanaannya dalam memberikan keputusan di dalam pengampunan ini. Keputusan ini juga sebenarnya memberi win-win situation kepada kedua-dua pihak yang menyokong ataupun tidak. Ia seharusnya memberi kegembiraan kepada penyokong Datuk Seri Najib Razak kerana beliau diberi pengurangan di dalam hukumannya iaitu daripada 12 tahun kepada 6 tahun dan denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. Keputusan ini juga memberi kelegaan kepada rakyat yang menolak pengampunan diberikan kerana beliau tidak dianugerahkan pengampunan penuh (full pardon) yang mempunyai kelebihan yang lebih besar. Menurut pakar perlembagaan, Prof Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hassan pengurangan hukuman penjara tersebut menghalang bekas Perdana Menteri itu untuk memohon perintah parol bagi menjalani hukuman pemenjaraan di luar penjara. Ini adalah kerana ia selari Seksyen 46E(6)(a) Akta Penjara 1995 (Akta 537) yang membataskan hak parol bagi tahanan jika mendapat lega hukuman di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, menurut Prof Madya Datuk Dr Shamrahayu A Aziz undang-undang berkaitan pengampunan di negara ini berkait rapat dengan kuasa prerogatif atau budi bicara Yang di-Pertuan Agong maka tidak wajar keputusan pengampunan ini dipersoalkan oleh sesiapa kerana Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong berkuasa untuk membuat sebarang keputusan dan tidak boleh dipersoal di mahkamah. Masyarakat juga tidak perlu gusar akan berlakunya kegelinciran di dalam penegakan undang-undang di Malaysia lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan rasuah kerana menurut Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia keputusan Lembaga Pengampunan tidak sesekali menggugat pendirian Kerajaan untuk terus memerangi rasuah.
KES NIK ELIN VS KERAJAAN NEGERI KELANTAN
Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menerima hakikat bahawa Malaysia mewarisi sistem dualisme di dalam sistem perundangan negara. Ia adalah sistem yang mengandungi dua sistem yang sama penting – dua undang-undang dan dua mahkamah. Sistem ini tidak berlaku dengan sendiri, tetapi adalah rekaan dan perbuatan British. Mahkamah Sivil mempunyai bidang kuasa umum. Ia mempunyai kuasa dan bidang kuasa untuk mendengar semua jenis kes, kecuali perkara mengenai undang-undang Islam. Mahkamah Sivil juga perlu menghormati keputusan Mahkamah Syariah. Mahkamah Syariah pula adalah mahkamah negeri, yang dicipta oleh undang-undang negeri (kecuali dalam hal Wilayah-Wilayah Persekutuan), yang mempunyai bidang kuasa ke atas orang Islam dan membuat keputusan ke atas perkara peribadi dan juga jenayah Islam. Undang-undang yang terpakai di Mahkamah Syariah adalah undang-undang Islam.
Nik Elin atau nama sebenarnya Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid bersama anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman telah mengemukakan petisyen mencabar 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019. Pada 9 Februari 2024, Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 adalah terbatal dan tidak sah. Dengan keputusan itu, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu. Ia dicabar kerana berlaku pertindihan seksyen-seksyen terlibat dengan Undang-undang Persekutuan yang sedia ada. Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa jika terdapat Undang-undang Negeri yang tidak selaras dengan sesuatu Undang-undang Persekutuan, maka ia tidak sah dan terbatal. Di dalam kes ini Nik Elin tidak mencabar sekseyn berkaitan khalwat, zina, aurat, puasa, arak, takfir, dan sebagainya.
Berikutan kes ini, menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan tidak menjejaskan kedudukan Mahkamah Syariah di Malaysia. Menurut beliau, Mahkamah Syariah akan kekal dan terus terjamin kewujudannya selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia untuk mendapatkan alasan penghakiman bertulis kes itu bagi tujuan kajian serta perancangan selanjutnya. Langkah ini adalah selaras dengan agenda berterusan kerajaan dalam menambahbaik dan memperkasa Mahkamah Syariah di Malaysia.
Ketika mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) Ke-71 pada 15 Februari 2024, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku Pengerusi MKI telah menitahkan supaya semua pihak perlu menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dan kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara. Sebagai langkah ke hadapan Sultan Selangor telah menitahkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Isu Berkaitan Kompetensi Dewan Undangan Negeri yang telah ditubuhkan untuk mengkaji kaedah memperluaskan kompetensi Badan Perundangan Negeri untuk menggubal undang-undang jenayah syariah dalam kerangka yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Sebagai penutup Wacana Warga 1.0, Prof Madya Dr Zulfakar Ramlee menyeru agar semua pihak bersama-sama membantu membangunkan Malaysia dengan memperkasakan Mahkamah Syariah dan hentikan perbalahan supaya pindaan reformasi undang-undang yang diperlukan berkaitan Mahkamah Syariah dapat segera dilakukan.
KHAIRUNNISA MOHD AMRAN (Pegawai Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research)