Sumbangan Tunai Rahmah (STR) 2024

Bermula 2023, Bantuan Tunai Rakyat (BTR) telah diperkenalkan bagi mengganti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM, 2021). Terdahulu, kerajaan telah menyalurkan bantuan tunai kepada rakyat melalui Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M, 2012), Bantuan Sara Hidup (BSH, 2018) dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN, 2020). BTR 2023 disalurkan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) iaitu di bawah salah satu inisiatif konsep Payung Rahmah. Tujuan STR ialah membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang berkelayakan bagi menghadapi cabaran kos sara hidup. Dengan peruntukan RM8 billion, STR 2023 disasarkan kepada empat (4) golongan iaitu isi rumah (mengikut bilangan anak), warga emas sebatang kara (60 tahun dan ke atas), bujang berumur 21-59 tahun dan bujang OKU 19-59 tahun.

Dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan pada 13 Oktober 2023 yang lalu, kerajaan meneruskan STR 2024 dengan jumlah peruntukan keseluruhan ditingkatkan kepada RM10 bilion. Kadar bayaran STR 2024 bergantung kepada kelayakan bayaran pada fasa permohonan yang telah diluluskan. Pembayaran STR dilaksanakan 4 kali pada tahun 2024 iaitu fasa 1 (Februari 2024), fasa 2 (April 2024), fasa 3 (Ogos 2024) dan fasa 4 (November 2024). Bagi STR 2024, pemberian disasarkan mengikut kategori dan kelayakan berikut:

 

Sumber: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, 2024

 

*Untuk perincian setiap proses, boleh layari: SOALAN_LAZIM_(FAQ)_PERMOHONAN_STR_2024.pdf (hasil.gov.my)

STR dijangka meningkatkan permintaan dalam negara dan seterusnya membantu merangsang ekonomi terutama bagi sektor makanan dan minuman serta peruncitan. Pemberian STR berdaya untuk meningkatkan kuasa beli isi rumah berpendapatan rendah dan menyuntik peningkatan perbelanjaan untuk barangan dan perkhidmatan yang penting. STR juga dijangka mengurangkan beban kos sara hidup yang tinggi serta meningkatkan kesejahteraan terutama bagi kumpulan terdedah seperti ibu tunggal dan warga emas. Peningkatan kesejahteraan ini diharapkan dapat mengurangkan masalah sosial seperti kekurangan makanan berzat dan keciciran persekolahan kesan daripada faktor kemiskinan. Namun begitu, pemberian bantuan tunai yang berterusan menimbulkan kebimbangan jangka masa panjang terhadap kedudukan fiskal kerajaan dan kesediaan sesetengah penerima untuk bekerja. Oleh itu, kerajaan perlu mengukuhkan bantuan kewangan dan bukan kewangan (seperti program latihan) secara strategik supaya seluruh isi rumah dapat berdaya tahan terhadap kejutan krisis ekonomi pada masa akan datang.

AAINAA AMIRAH HARON (Pegawai Penyelidik Nusantara Academy for Strategic Research)