Pemergian ‘Bapa Rahmah Malaysia’, yang juga merupakan Ahli Parlimen Pulai dan ADUN Simpang Jeram, YB Salahuddin Ayub pada 23 Julai 2023 yang lalu, amat menghibakan bagi semua rakyat Malaysia, terutamanya kepada mereka yang menerima manfaat yang besar daripada inisiatif beliau.
Undi PRU dan PRN Lepas
Pilihanraya Negeri (Mac 2022) yang lepas di Simpang Jeram, PH mendapat 8,749 undi, BN mendapat 6,062 undi, PN mendapat 6,350 undi dan Pejuang hanya mendapat 280 undi. Sementara itu, ketika Pilihanraya Umum (Nov 2022) yang lalu pula, PH mendapat 13,982 undi, BN mendapat 6,795 undi, PN mendapat 8,083 undi dan Bebas hanya mendapat 941 undi.
Manakala di Pulai, pada Pilihanraya Negeri (Mac 2022) yang lepas, apabila dijumlahkan undi di DUN Perling dan Kempas, PH mendapat 27,033 undi, BN mendapat 27,200 undi, PN mendapat 16,865 undi dan Pejuang mendapat 2,267 undi. Sementara itu, pada pilihanraya umum (Nov 2022) yang lalu pula, PH mendapat 64,900 undi, BN mendapat 31,726 undi dan PN mendapat 20,677 undi.

Parlimen Pulai

DUN Simpang Jeram
Berdasarkan analisis PRN Johor, penurunan undi PH yang amat signifikan adalah disebabkan oleh kadar turun mengundi dalam kalangan pengundi Cina yang sangat rendah, iaitu hanya 35.7% di DUN Simpang Jeram dan 38.3% di kedua-dua DUN di dalam Parlimen Pulai.
Pilihanraya Kecil Simpang Jeram dan Pulai
Untuk PRK ini, jika trend keluar mengundi-pengundi adalah sama seperti PRN Johor, dan kebolehpindahan undi (vote transferability) BN hanya 30% (berdasarkan 30% pindahan undi BN di kerusi Amanah di Negeri Sembilan), PN berpeluang untuk menawan Pulai dengan majoriti 2,979 undi dan juga Simpang Jeram dengan hanya majoriti tipis 26 undi, sepertimana yang berlaku di Taman Medan dan Gombak Setia di Selangor.
Namun begitu, senario ini boleh berubah dengan drastik jika berlaku sekurang-kurangnya 5% peningkatan peratusan keluar mengundi dalam kalangan pengundi Cina dan India, dan juga peningkatan kadar pindahan undi BN kepada koalisi kerajaan Madani PH-BN melebihi 30%, justeru mengekalkan kerusi Amanah dan PH dalam kerajaan pusat dan negeri Johor.
Kepada para pengundi di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram, ayuh laksanakan tanggungjawab anda sebagai pengundi untuk memilih pemimpin yang akan mewakili suara anda dalam sidang dewan rakyat dan negeri.
Azlan Musyabri (Penganalisis Data NASR)