ANALISA SURVEI PRK CHINI

ANALISA SURVEI PRK CHINI
Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

PENGENALAN

Semenjak Pilihanraya Umum Ke-11 (PRU-11), kerusi DUN Chini merupakan kerusi tradisi BN-UMNO dengan rekod undi popular melebihi 70% (PRU-11 – PRU-13) dan berkurang kepada 60% pada PRU-14.

Pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14), DUN Chini dimenangi oleh Datuk Seri Abu Bakar Harun (BN-UMNO) dengan 10,027 undi mengatasi Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (PAS) yang menerima 5,405 undi dan disusuli dengan calon PH (PKR) Mohamad Razali Ithnain yang hilang wang deposit dengan mendapat 1,065 undi.

Pilihanraya Kecil (PRK) DUN Chini akan diadakan pada 4 Julai 2020 ekoran kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun (penyandang DUN Chini) pada 6 Mei lalu akibat komplikasi jantung.

PRK DUN Chini bakal menyaksikan perlawanan 3 penjuru antara Mohd Shahrim Md Zain (MN-UMNO), Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin (Bebas) dan Mohd Shukri Mohd Ramli (Bebas) bagi merebut undi dari 20,990 pemilih berdaftar di DUN Chini.

Statistik menunjukkan pemilih berusia bawah 40 tahun membentuk komposisi terbesar (53%) dari 20,990 pemilih berdaftar manakala komposisi pemilih mengikut jantina menggambarkan peratusan yang agak seimbang (pemilih lelaki 49% dan pemilih wanita 51%).

KAJIAN LAPANGAN

Satu survei telah dijalankan pada 13 hingga 29 Jun 2020 untuk melihat pola sokongan PRK Chini dan kerjasama Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional yang melibatkan 469 responden yang dipilih menggunakan persampelan mengikut strata dengan melibatkan kesemua 13 daerah mengundi (DM) di DUN Chini.

Komposisi responden

Responden terdiri daripada;
1. 58% lelaki dan 42% perempuan,
2. 95% Melayu dan 5% Orang Asal,
3. 17% responden berumur 20 hingga 29 tahun,
4. 35% responden berumur 30 hingga 39 tahun,
5. 14% responden berumur 40 hingga 49 tahun,
6. 13% responden berumur 50 hingga 59 tahun dan
7. 20% responden berumur 60 tahun ke atas.

Dapatan kajian

Berikut merupakan antara dapatan kajian:
1. Seramai 70% responden yang mahukan Perikatan Nasional memenangi PRK Chini kali ini,
2. Hampir 79% responden berminat dengan Muafakat Nasional
3. Seramai 54% responden masih merasakan kerajaan sekarang ialah kerajaan Barisan Nasional
4. Sejumlah 63% penduduk muda bawah 30 tahun menyokong kerajaan Perikatan Nasional.
5. Sejumlah 93% responden mengatakan mereka akan turun mengundi pada PRK kali ini.
6. Secara umum, 89% pengundi Chini ingin mengekalkan status quo untuk terus mengundi BN pada PRK kali ini.

KESIMPULAN AWAL

Jentera BN-UMNO dilihat menggunakan ketokohan dan populariti mantan Perdana Menteri, dengan meletakkan gambar Dato Seri Najib Razak pada billboard di kawasan utama DUN Chini. Ketokohan dan kredibiliti calon bebas Datuk Tengku Zainul Hisham pula menyebabkan beliau dikenali oleh penduduk setempat, mungkin kerana itu calon ini tidak menggunakan strategi kain rentang bagi memperkenalkan calon.

DUN Chini akan kekal di bawah BN-UMNO walaupun kelihatan berlaku kempen kontra (counter campaign) dari calon bebas (terutamanya calon Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin). Sejauh mana calon BN-UMNO dapat mengekalkan undi BN dan menambah undi PAS kepada calon BN-UMNO akan menjadi satu penanda aras tahap penerimaan kerjasama Muafakat Nasional. Pada PRU-14 yang lalu PAS mendapat undi sebanyak 5,405, calon BN-UMNO ini perlu mendapat undi yang setara melalui perpindahan undi (transfer of votes) PAS bagi menunjukkan muafakat PAS-UMNO ini diterima sepenuhnya oleh akar umbi setakat PRK kali ini.

Undi yang diterima oleh calon bebas pula, Datuk Tengku Zainal dilihat bakal memberi saingan kepada calon BN-UMNO, sekiranya melepasi undi minima (tidak hilang deposit) amat penting. Ini akan menunjukkan dominasi BN di DUN Chini semakin merosot dan kerjasama BN-PAS mungkin tidak disenangi pengundi.

Disediakan oleh:
Pasukan Penyelidik
Nusantara Academy for Strategic Research (NASR)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *